My Add

Thursday 19 June 2014

Jurugambar Utusan Malaysia cedera dibelasah dua lelaki

 * ANGGOTA polis berusaha meleraikan ketika suspek (kiri) memukul jurugambar Utusan Malaysia di pekarangan Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU, RABU 18 Jun, 2014: Ditumbuk bertalu-talu sebelum dipijak di kepala. Itu pengalaman pahit yang dilalui seorang jurugambar Utusan Malaysia ketika sedang membuat tugasan di pekarangan Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi, jurugambar tersebut, Irwan Majid, 31, cedera di kepala dan tangan kiri selepas dibelasah dua lelaki dipercayai ahli keluarga seorang wanita yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah jenis heroin.

Salah seorang suspek dikatakan suami kepada wanita terbabit.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Irwan berkata, kejadian berlaku ketika dia serta dua lagi rakan pemberita sedang merakam gambar tertuduh yang diiringi keluar dari mahkamah.

"Semasa saya berada di hadapan tertuduh, seorang lelaki meluru dan terus menumbuk saya berkali-kali sehingga saya terjatuh. Dia juga cuba menarik kamera yang saya sandang di bahu.

"Saya melawan dan kami bergelut seketika sebelum seorang lagi lelaki turut menyerang dan bertindak memijak kepala saya," katanya.

Beberapa anggota polis yang melihat insiden tersebut segera meleraikan pergaduhan manakala Irwan sempat menangkap suspek yang bergelut dengannya dengan cara memaut leher lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, seorang lagi lelaki yang memijak kepalanya berjaya melarikan diri. Selain itu, kamera mangsa turut pecah selepas terjatuh ketika dia dibelasah dua suspek berkenaan. Irwan kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika mengesahkan kejadian tersebut memberitahu, suspek ber-usia 46 tahun yang ditangkap akan direman untuk membantu siasatan.

"Seorang lagi suspek telah dikenal pasti dan usaha untuk menahannya sedang dijalankan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kerana ugutan jenayah dan bencana kepada harta benda," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment