My Add

Saturday 14 June 2014

Kadar pengangguran negara masih rendah pada kadar 3.1 peratus

PAPAR, SABTU 14 Jun, 2014: Kadar pengangguran di Malaysia sekarang berada pada paras 3.1 peratus dan tahap tersebut masih rendah berbanding negara-negara maju, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Beliau berkata, kementeriannya melalui pelbagai aktiviti seperti program Karnival Azam Kerja dan Program Penempatan Pekerjaan (3P) dilihat memberi impak bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.

``Antara faktor kebanyakan golongan muda menganggur ialah mereka merasa selesa dengan kehidupan bersama ibu bapa selain kesan masalah pengurusan masa terlibat dengan aktiviti sosial yang tidak seimbang dan memilih kerja,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Azam Kerja dan Program 3P peringkat daerah Papar di sini, hari ini.

Ismail berkata, karnival kerjaya itu menjadi platform yang dapat mempertemukan secara langsung antara majikan dan pekerja dalam usaha mendapatkan padanan pekerjaan.

Terdahulu, ketika berucap beliau berkeyakinan bahawa setiap program karnival yang dianjurkan mempunyai penambahbaikan agar menjadi relevan dengan keperluan industri dan dasar kerajaan.

Beliau percaya, program seumpama itu dapat memberi keyakinan yang tinggi kepada siswazah terhadap pasaran kerja dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja warga asing yang berjumlah kira-kira dua juta orang.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata tiada aduan dilaporkan di Sabah berhubung pelaksanaan gaji minimum yang bermula 1 Jan lepas.

Beliau berkata pihaknya akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi mengenal pasti majikan dan syarikat yang enggan mematuhi arahan pelaksanaan gaji minimum berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment