My Add

Saturday, 14 June 2014

Kerajaan jamin usaha pencarian MH370 akan ditingkatkan

RAUB, SABTU 14 Jun, 2014: Usaha pencarian penerbangan MH370 yang hilang sejak lebih 100 hari lalu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan bantuan negara-negara seperti China dan Australia, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, menerusi hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan dua negara terbabit serta negara Asean lain, operasi pencarian menjadi lebih mudah.

``Kita bagi jaminan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), China, Australia dan negara-negara Asean lain kepada anggota keluarga (penumpang dan kru MH370), kita bersama-sama mereka dalam usaha pencarian ini,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata hubungan kukuh antara negara yang terlibat dalam pencarian amat penting bagi menangkis dakwaan konspirasi geopolitik yang mahu melaga-lagakan Malaysia, China dan Australia.

Pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang termasuk 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Pada 24 Mac, Najib mengumumkan berdasarkan analisis data satelit, penerbangan itu dipercayai “berakhir" di selatan Lautan Hindi. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment