My Add

Saturday, 21 June 2014

Kaitkan UMNO satu pembohongan, berniat jahat

KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: "Dakwaan pihak pembangkang yang mengatakan kononnya ada pemimpin UMNO di belakang saya adalah satu pembohongan dan pertuduhan jahat. Jika benar 'dijaga' oleh UMNO, sudah pasti saya akan gunakan khidmat peguam yang dibiayai parti tersebut."

Pengendali laman blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris (gambar) meluahkan kekesalan itu bagi menjawab tohmahan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak terhadapnya sambil menegaskan, beliau kini bertindak mewakili dirinya sendiri dalam semua prosiding mahkamah tanpa khidmat peguam kerana tidak mampu berbuat demikian.

Disebabkan faktor bebanan kadar yuran guaman yang tinggi menurut Wan Muhammad Azri, beliau terpaksa menjual keseluruhan pegangannya selain melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarang KL Pos Media & Production Sdn. Bhd.

"Saya perlu bertindak sebagai seorang `peguam' yang membela diri dengan membeli buku-buku guaman bagi membantu saya berhujah untuk diri sendiri," katanya kepada pemberita sebelum Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonannya untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang memakai suit kelabu dan lengkap bertali leher mengemukakan permohonan supaya perintah pembayaran ganti rugi RM800,000 dan kos RM50,000 yang diputuskan pada 28 Februari lalu, ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop dalam keputusan yang dibuat di kamar hakim bagaimanapun menolak permohonan Wan Muhammad Azri.

Lelaki itu yang mendakwa warna kulitnya bertambah gelap ekoran menjadi nelayan mengemukakan permohonan untuk membayar ganti rugi tersebut secara ansuran sebanyak RM100 sebulan jika mahkamah tidak membenarkan penangguhan pembayaran itu.

Peguam Shahid Adli yang mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ditanya mengesahkan, mahkamah menolak permohonan Wan Muhammad Azri, 31, dengan kos RM5,000 untuk dibayar kepada Anwar selaku pihak plaintif dalam masa dua minggu.

Berhubung soal pembayaran kos tersebut pula menurut peguam itu, mahkamah meminta Wan Muhammad Azri berbincang dengan pihak plaintif.

Anwar, 67, memfailkan saman itu pada 21 Mac 2013 kerana mendakwa Wan Muhammad Azri adalah pemilik blog, www.papagomo.com yang menyiarkan artikel dan paparan video seks sejenis secara berturut-turut dari 16 Mac hingga 20 Mac tahun lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa Wan Muhammad Azri yang dinamakan sebagai defendan, secara nyata atau tersirat menyatakan individu di dalam imej-imej dalam artikel yang disiarkan itu adalah beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment