My Add

Saturday 21 June 2014

Jangan pinggir kontraktor bumiputera - Perdasama

KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Pihak bertanggungjawab perlu lebih sensitif dalam menangani isu melibatkan dominasi pelabur asing bagi memastikan kontraktor bumiputera tidak dipinggirkan.

Menurut Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir, kontraktor bumiputera harus diberi ruang dan kepercayaan yang lebih dalam menjayakan projek-projek pembangunan supaya golongan tersebut dapat berkongsi limpahan ekonomi hasil kemasukan pelabur asing ke negara ini.

Katanya, perkara itu penting bukan sahaja untuk membuka peluang kepada mereka membuktikan keupayaan, malahan turut menaik taraf prestasi golongan bumiputera terutama dalam menjayakan projek-projek besar bernilai jutaan ringgit.

"Jika peluang tidak diberikan, tindakan tersebut bakal memperlihatkan seolah-olah golongan bumiputera langsung tidak mempunyai kepakaran dan kelayakan untuk mengambil bahagian dalam projek-projek besar.

"Perkara ini sudah pastinya amat menyedihkan dan memalukan, justeru pihak yang bertanggungjawab perlu lebih sensitif agar pandangan negatif sebegini dapat dielakkan," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Moehamad Izat turut menyokong pandangan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee berkenaan pendominasian pelabur asing di negeri Johor.

"Saya berharap agar isu ini tidak dipandang remeh demi membangunkan kontraktor bumiputera di negara ini serta menjadikan mereka lebih berjaya," katanya.

China Daily sebelum ini melaporkan mengenai penglibatan lima firma pemaju China di zon ekonomi utama Iskandar manakala pemaju keenam, Macrolink Real Estate merancang untuk membangunkan sebuah resort percutian di situ. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment