My Add

Thursday 19 June 2014

Kanada bantu Maritim Malaysia

Oleh AMRAN MULUP
 
 * AHMAD Puzi Ab. Kahar (dua dari kanan) bersama Judith St. George (kanan) mencuba kelengkapan bot selepas penyerahan dua buah bot oleh kerajaan Kanada di pejabat Daerah Maritim 5 Kuala Linggi di Alor Gajah, Melaka, semalam. Turut kelihatan Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah 5, Kuala Linggi, Kapten Abu Bakar Idris (kiri). - BERNAMA
ALOR GAJAH, RABU 18 Jun, 2014: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjalinkan kerjasama erat dengan agensi keselamatan maritim Kanada bagi memastikan perairan antarabangsa dan negara ini selamat daripada sebarang ancaman jenayah.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Laksamana Madya Maritim, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, Maritim Malaysia merancang untuk mendapatkan pakar-pakar penguatkuasaan maritim dari Kanada dalam menjalani latihan bersama dan memperkasakan agensi tersebut.

"Maritim Malaysia melihat banyak ruang dan peluang boleh dimanfaatkan melalui kerjasama antara kedua-dua buah negara terutama dalam menangani isu pendatang tanpa izin, jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia di perairan negara ini.

"Sesetengah pihak beranggapan negara kita sebagai negara transit bagi jenayah rentas sempadan namun melalui kerjasama ini dengan kerajaan Kanada dalam bidang maritim, segala cabaran dan masalah dapat diatasi dengan baik, teratur dan tersusun.

"Dalam beberapa operasi yang dijalankan, kita juga menerima maklumat perisikan daripada negara-negara lain dan saya mengharapkan skop lebih besar antara Malaysia dan Kanada dapat diwujudkan khusus dalam menangani isu pengganas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima dua buah bot Rigid Hull Fenders Boat (RHFB) berharga RM2 juta daripada kerajaan Kanada di Pejabat Daerah Maritim 5, Kuala Linggi, Masjid Tanah dekat sini hari ini.

Dalam majlis penyerahan bot itu, Maritim Malaysia diwakili oleh Ahmad Puzi manakala Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Judith St. George mewakili kerajaan negara tersebut.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Che Hassan Jusoh; Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Adon Shalan dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim, Samsuni Mohd. Nor.

Bot sepanjang 12 meter setiap satu menggunakan dua enjin 350 kuasa kuda jenis Yamaha V8 itu dibina di limbungan Syarikat Dalac Marine Engineering and Services Sdn. Bhd. di Johor Bahru menerusi dana kerajaan Kanada.

Sementara itu, Judith berkata, dua buah bot tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM6 juta membabitkan empat projek diumumkan Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper sewaktu kunjungannya ke negara ini pada Oktober 2013.

Menurutnya, bot tersebut adalah juga simbol hubungan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua buah negara.

"Malaysia adalah rakan kongsi berharga dan terlibat dalam memerangi penyeludupan pendatang tanpa izin dan pemerdagangan manusia kerana Kanada juga berusaha memerangi jenayah ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment