My Add

Thursday 19 June 2014

RM66.6 bilion harta pusaka tidak diurus

Oleh LILIS SURIANI OMAR
 
 * MOHD. Redza Shah Abdul Wahid (dua, kiri) bertukar dokumen yang dimeterai bersama Abdul Fattah Abdullah pada majlis menandatangani perjanjian Pakatan Strategik antara MYAngkasa Amanah Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad sambil diperhatikan Shamsudin Bahari (kiri) dan Ahmad Saruji Abdul Aziz di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyasarkan 20 peratus daripada 700,000 pelanggannya tahun ini akan menyertai program pengurusan harta pusaka melalui perjanjian strategik bersama MyAngkasa Amanah Berhad yang pertama kali dimeterai hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka dalam kalangan orang awam.

Beliau berkata, melalui program itu, para pelanggan Jabatan Perbankan Konsumer kini boleh memberikan hak pembekalan dan pengurusan kepada MyAngkasa Amanah.

"Berdasarkan statistik yang diperoleh sehingga September 2013, nilai harta pusaka yang tidak diuruskan di negara ini mencecah RM66.6 bilion yang mana kebanyakannya melibatkan kes-kes milikan hartanah.

"Hal ini berlaku kerana kurangnya kesedaran orang ramai untuk merancang dan menguruskan harta mereka dengan baik sehingga menyebabkan pembangunan ekonomi terencat kerana banyak tanah-tanah terbiar gagal dibangunkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian pakatan strategik turut dihadiri oleh Pengerusi MyAngkasa Amanah, Datuk Abdul Fattah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Saruji Abdul Aziz dan Ketua Bahagian Konsumer Bank Muamalat, Shamsudin Bahari di sini hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya mengambil inisiatif untuk memupuk kesedaran masyarakat dengan memberi pendedahan kepada pelanggan yang berurusan dengan Bank Muamalat di samping meningkatkan kecekapan dan kepantasan dalam pentadbiran pusaka.

Sementara itu, Abdul Fattah yang juga Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berkata, perjanjian yang julung kali diadakan melibatkan institusi kewangan tersebut menyediakan perkhidmatan merangkumi perancangan sehingga kepada pentadbiran harta pusaka dalam pengurusan wasiat, amanah, hibah serta pusaka bagi tempoh pakatan selama tiga tahun.

"Kami juga merancang untuk menambah sebanyak 30 lagi rakan niaga yang terdiri daripada sembilan institusi kewangan selepas Bank Muamalat dan 20 dari koperasi-koperasi yang ada di Malaysia.

"Dalam masa yang sama, kami turut menyasarkan untuk mengendali 7,000 kes berbentuk wasiat dan hibah yang mempunyai nilai kasar dianggarkan hampir RM2.1 bilion," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment