My Add

Wednesday 11 June 2014

Keluar dari zon selesa, teroka dunia

Oleh Mohd Ridzwan Iman

 * NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Gurbanguly Berdimuhamedov ketika mengadakan perjumpaan di Istana Presiden, Ashgabat, Turkmenistan, semalam. - BERNAMA
ASHGABAT (Turkmenistan), SELASA 10 Jun, 2014: Rakyat dan syarikat Malaysia seharusnya berani mengharungi cabaran serta bersedia keluar daripada zon selesa jika ingin berjaya di peringkat global, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, sememangnya banyak cabaran dan dugaan akan ditempuhi apabila menerokai negara-negara yang belum pernah diterokai sebelum ini kerana mempunyai perbezaan cara hidup yang ketara.

"Jepun dan Korea Selatan misalnya menjadi negara yang begitu dihormati pada masa kini kerana rakyatnya cekal dalam menghadapi cabaran dan rintangan apabila meneroka pasaran dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama rakyat Malaysia yang tinggal di Turkmenistan dalam majlis makan tengah hari anjuran Duta Malaysia ke Turkmenistan, Norman Muhammad di sebuah hotel di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan delegasi Malaysia.

Najib bagaimanapun memuji kegigihan kakitangan Petronas yang mengamalkan tahap profesional yang tinggi ketika bertugas di negara ini sehingga organisasi itu mendapat penghargaan Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov.

"Inilah cara yang perlu dilakukan oleh rakyat dari sebuah negara yang bercita-cita besar. Kalau hendak berjaya di peringkat global tidak boleh hanya berada di zon selesa di negara sendiri.

"Kita mesti ada semangat berani untuk mencuba dan menerokai kawasan-kawasan yang belum pernah diterokai dan semangat ini akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang dihormati," tambahnya.

Najib juga berkata, beliau berpuas hati dengan lawatan kali keduanya ke negara ini dalam usaha untuk membuka lebih banyak peluang syarikat Malaysia bertapak di Turkmenistan.

Katanya, Turkmenistan menawarkan banyak peluang dan mampu menjadi rakan strategik untuk Malaysia memasuki pasaran Asia Tengah yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Terdapat seramai 350 rakyat Malaysia tinggal di negara ini, termasuk ahli keluarga. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment