My Add

Tuesday, 3 June 2014

Kemenangan PRK Teluk Intan peluang Gerakan bangkit semula

PUTRAJAYA, ISNIN 02 Jun, 2014: Kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan menerusi Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong daripada DAP merupakan isyarat terbaik bagi parti komponen BN itu untuk bangkit kembali selepas mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, biarpun terpaksa berhadapan saingan sengit daripada DAP yang meletakkan calon muda bagi mempertahankan kerusi tersebut, semangat tidak cepat mengaku kalah jentera BN berjaya mengembalikan kerusi tersebut.

"Walaupun berdepan calon lebih muda, kita dapat memberi saingan hebat di Teluk Intan dan saya lihat perkara ini memberi peluang baik kepada parti Gerakan yang sebelum ini menghadapi saat-saat sukar untuk bangkit semula.

"Menerusi peluang yang akan diberikan untuk menyertai Kabinet nanti, ini merupakan kesempatan terbaik untuk Siew Keong membuktikan kepimpinannya dan berkhidmat untuk masyarakat," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu, Siew Keong berjaya menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud dengan memperoleh majoriti 238 undi dan sekali gus mengembalikan semula kerusi itu ke tangan BN selepas dua penggal dimenangi DAP.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN, turut memuji jentera Pergerakan Pemuda BN yang diketuai Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang kerana berjaya menyelaraskan gerak kerja kempen dengan baik.

Katanya, gerak kerja berkesan yang dilaksanakan oleh Pergerakan Pemuda BN berjaya menambat hati pengundi di Teluk Intan untuk memilih BN biarpun, menerima tentangan sengit daripada calon lawan.

Sementara itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO tidak akan memohon maaf secara terbuka kepada DAP berhubung tindakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang memberi tindak balas ekoran kenyataan biadab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Delima, RSN Rayer baru-baru ini

Katanya, permohonan maaf yang dibuat kepada Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming melalui laman Twitter berhubung kerosakan papan tanda DAP dalam demonstrasi di ibu pejabat DAP baru-baru ini sudah mencukupi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment