My Add

Tuesday 3 June 2014

Kerajaan timbang naik royalti minyak, gas Sarawak

MIRI, ISNIN 02 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju mempertimbangkan permohonan kerajaan Sarawak untuk mendapatkan kenaikan royalti minyak dan gas daripada lima peratus kepada 20 peratus bagi negeri ini.

Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Pusat memang tiada masalah untuk berunding dengan kerajaan negeri mengenai perkara yang melibatkan keperluan untuk rakyat Sarawak.

"Yang penting bak kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dalam ucapan tadi, bukan bentuk (jumlah) royalti diutamakan, asalkan ada peruntukan atau dana masuk ke dalam akaun kerajaan negeri.

"Insya-Allah, Kerajaan Pusat akan memberi pertimbangan terbaik kepada hasrat kerajaan negeri itu," katanya dalam ucapan pada Majlis Perayaan Gawai Dayak Malaysia 2014 yang bertemakan ‘Segulai sejalai - Sarawak harmoni, kemakmuran dinikmati’ di Dataran Kipas di sini malam ini.

Mesyuarat pertama penggal keempat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-17 baru-baru ini bersetuju sebulat suara meluluskan usul untuk mendapat kenaikan royalti minyak dan gas daripada lima peratus kepada 20 peratus bagi negeri ini.

Mengulas lanjut Najib berkata, beliau sememangnya mahu melihat Sarawak dapat terus membangun, maju dan berjaya pada masa hadapan.

Katanya, pelantikan Adenan sebagai Ketua Menteri baharu dengan gandingan Abdul Taib selaku Yang Dipertua Negeri dilihat mampu membawa Sarawak lebih gemilang.

Sebelum itu Adenan dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri berharap bahagian royalti bagi minyak dan gas dapat ditambah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment