My Add

Monday 16 June 2014

Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak harus berasa terancam - Zainal Abidin

NIBONG TEBAL, AHAD 15 Jun, 2014: Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak harus berasa 'terancam' dengan permintaan kerajaan negeri Kedah untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu di Kulim.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, perkara itu memandangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sudah membuktikan kemampuannya dalam merancakkan aktiviti pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Malah menurut beliau, negeri ini sendiri sudah dikenali di peringkat antarabangsa kerana mempunyai pasarannya yang tersendiri.

"Setiap tahun ramai pelancong dari seluruh dunia berkunjung ke negeri ini melalui pintu masuk di LTAPP, begitu juga untuk urusan kargo. Jadi, dalam hal ini, Pulau Pinang sudah ada prestijnya dan tidak perlulah berasa risau dengan permohonan yang dibuat Kedah," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak anjuran Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Sebelum ini Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, beliau akan meminta tambahan dua lagi lapangan terbang untuk Pulau Pinang sekiranya permohonan yang dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu diluluskan Kerajaan Pusat.

Guan Eng dilaporkan berkata, lapangan terbang antarabangsa yang baharu tidak perlu dibina di Kulim kerana faktor kedudukan yang begitu dekat dengan LTAPP selain negeri ini menerima pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih tinggi berbanding negeri jirannya itu.

Ditanya mengenai impian Guan Eng yang mahukan tambahan dua lapangan terbang lagi, Zainal Abidin secara berseloroh berkata, jumlah itu terlalu banyak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, permintaan lapangan terbang baharu adalah hak Kedah dalam merencanakan pembangunan di Kulim.

"Permintaan ini boleh diibaratkan seperti anak-anak yang mahukan sesuatu daripada bapa. Dalam konteks Pulau Pinang pula, walaupun ditadbir parti berbeza dengan kerajaan di peringkat Pusat, negeri ini tidak pernah diabaikan," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut bersetuju sekiranya lapangan terbang antarabangsa baharu dibina di Kulim kerana manfaatnya bukan hanya untuk negeri itu sebaliknya turut memberi impak positif kepada wilayah utara Perak selain tiga daerah di Pulau Pinang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment