My Add

Monday 16 June 2014

Kaji kesan GST terhadap rasionalisasi subsidi

LABIS, AHAD 15 Jun, 2014: Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan untuk mengkaji duti import dan eksais kenderaan serta alat gantinya sebagai sebahagian daripada rasionalisasi subsidi bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban.

Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, walaupun harga petrol dan diesel di negara ini diberikan subsidi oleh kerajaan, harga kenderaan di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding dengan kebanyakan negara jiran.

"Kadar duti import dan eksais kenderaan di negara kita sekarang pada kadar yang agak tinggi iaitu kira-kira 70 peratus berbanding beberapa negara jiran yang mengenakan hanya antara 20 hingga 30 peratus.

"Ini secara tidak langsung sudah memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki kenderaan yang merupakan satu keperluan pada hari ini," katanya semasa melawat Sekolah Agama Felda Tenang, di sini hari ini.

Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis berkata, selain itu terdapat ketidakpastian tentang kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas petrol dan diesel seperti yang dimaklumkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurutnya, jika GST dikenakan terhadap bahan api sebagai tambahan kepada rasionalisasi subsidi, beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat akan menjadi lebih besar dan langkah untuk mengatasinya perlu difikirkan.

Dalam pada itu, beliau turut mengesyorkan supaya kerajaan menyenaraikan bahan api sebagai barangan yang dikecualikan GST kerana dibimbangi akan memberi kesan buruk terhadap perbelanjaan rakyat.

Menurutnya, kenyataan Maybank Investment Bank yang menyatakan terdapat ketirisan kos kerajaan sebanyak enam bilion liter subsidi petrol RON95 dan 3.5 bilion liter diesel subsidi yang diseludup setiap tahun juga merupakan satu isu yang perlu diteliti semula. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment