My Add

Wednesday, 18 June 2014

klia2: MITI kaji tambah kuota

KUALA LUMPUR, SELASA 17 Jun, 2014: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengkaji untuk menambah kuota bagi peniaga bumiputera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang telah mula beroperasi sejak 2 Mei lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) yang bertanggungjawab menguruskan klia2 supaya usahawan bumiputera diberi peluang berniaga di kawasan tersebut.

Katanya, MITI menerima banyak permohonan dalam kalangan usahawan bumiputera untuk beroperasi di klia2, tetapi terpaksa menimbangkan banyak perkara termasuk beberapa syarat dan kriteria yang ditetapkan.

"Sebenarnya ramai yang memohon, tetapi sudah pasti bukan semua yang berjaya dapat sebab ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi. Tetapi kita akan kaji perkara ini secara spesifik termasuk melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara MITI dan MAHB," katanya ketika ditemui dalam lawatan beliau ke ibu pejabat Utusan Melayu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Ir. Hamim Samuri; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Datuk Hafsah Hashim; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak serta pegawai-pegawai kanan MITI dan Utusan Melayu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai pihak pengurusan klia2 yang tidak mesra peniaga bumiputera dalam Utusan Malaysia minggu lalu yang mana pengusaha rangkaian Kopitiam Killiney masih menunggu kata putus daripada MAHB walaupun sudah mendapat kebenaran daripada MITI untuk beroperasi di klia2. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment