My Add

Monday 16 June 2014

Koperasi Tentera umum dividen 12%

 * ABDUL Rahim Bakri (kanan) menyampaikan Anugerah Anggota Paling Lama kepada Kolonel (B) Kamaruldin Mohd. semasa perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Tentera Ke-49 di Dewan Perhebat, Kem Sungai Buloh, dekat Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, AHAD 15 Jun, 2014: Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) mengumumkan pembayaran dividen 12 peratus bersamaan RM116.4 juta kepada lebih 145,000 ahlinya selepas mencatat keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan 2013 sebanyak RM159 juta.

Bagaimanapun pemberian dividen itu merosot dua peratus berbanding tahun lalu kerana keuntungan sebelum cukai koperasi juga merosot sebanyak RM90 juta atau 36.1 peratus, di mana bagi tahun kewangan 2012, keuntungan sebelum cukai yang diraih ialah RM249.09 juta.

Kemerosotan tersebut menurut Koperasi Tentera adalah disebabkan peningkatan kos kerana koperasi berkenaan sedang dalam proses transisi untuk menjadi sebuah bank koperasi pada tahun depan, selain ketiadaan pendapatan luar jangka seperti tahun kewangan 2012.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri dalam ucapannya berkata, meskipun mengalami sedikit kemerosotan tetapi Koperasi Tentera tidak pernah gagal untuk membayar dividen 12 peratus atau lebih kepada ahlinya secara konsisten dari sejak tahun 1999.

"Saya sedar pemberian dividen ini agak rendah dari segi peratusan, namun dengan pemberian 12 peratus ini membuktikan Koperasi Tentera masih mampu memberikan pulangan yang tinggi secara konsisten kepada anggotanya walaupun sedang dalam proses transformasi.

"Malah prestasi kewangan 2013 kekal positif di sebalik sedikit penurunan dengan pendapatan bersih berjumlah RM204.9 juta walaupun dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera Ke-49 di Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Ahmad Nawawi; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Roslan Saad; Pengerusi Koperasi Tentera, Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tentera, Brigadier Jeneral (B) Datuk Ahmad Zahudi Salleh.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, beliau bangga dengan komitmen pengurusan Koperasi Tentera dan yakin perancangan untuk menjadi bank koperasi pertama yang 100 peratus dimiliki anggota tentera pada 2015 akan memberi manfaat lebih besar kepada ahli.

Namun katanya, usaha itu tidak mudah kerana untuk menjadi sebuah bank, banyak yang perlu dilakukan Koperasi Tentera khususnya membangunkan kepakaran sumber manusia, menyusun semula struktur organisasi dan membudayakan urus tadbir korporat yang lebih tinggi.

"Untuk sampai hingga ke tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah dan ini hanya mampu dilakukan oleh pemimpin yang bijak, pengurusan yang berkesan dan sokongan seluruh anggota tentera semua sebagai ahli Koperasi Tentera," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment