My Add

Saturday 14 June 2014

Mahkamah keluar waran tangkap terhadap Alvin Tan

 TAN JYE YEE
KUALA LUMPUR, JUMAAT 13 Jun, 2014: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap penulis blog kontroversi Alvin Tan setelah tertuduh gagal menyerahkan semula pasport antarabangsanya kepada mahkamah yang sebelum ini diberikan kepadanya bagi tujuan penggambaran sebuah dokumentari di Singapura.

Hakim Abdul Rashid Daud memerintahkan sedemikian setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Haffiza Jemali yang memohon waran tangkap tanpa jaminan itu terhadap lelaki terbabit yang ingkar perintah mahkamah.

Menurut Haffiza, pada 12 Mei lalu mahkamah membenarkan penyerahan sementara pasport tersebut kepada Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 26, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 25, untuk tempoh 18 Mei sehingga 3 Jun lalu.

Ini berikutan pasangan tersebut memaklumkan kepada mahkamah telah mendapat tawaran daripada syarikat Xtreme Media Pte. Ltd. di Singapura dan akan terlibat dalam penggambaran yang mengisahkan kehidupan mereka di negara itu.

Haffiza berkata, sepatutnya kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport berkenaan kepada mahkamah pada 4 Jun lalu namun Alvin gagal berbuat demikian malah tertuduh tidak hadir ke mahkamah untuk prosiding hari ini.

"Sehubungan itu saya memohon satu waran tangkap tanpa jaminan dikeluarkan terhadap tertuduh," katanya.

Sementara itu, Vivian hadir dengan ditemani peguam mereka, Choong Joo Tian dan Wong Kee Them untuk mengikuti prosiding tersebut.

Pada prosiding itu Joo Tian memaklumkan, pihaknya termasuk ahli keluarga dan kedua-dua penjamin tidak dapat menghubungi Alvin sehingga ke hari ini.

"Kami gagal menghubungi Alvin melalui telefon termasuk menghantar emel dan surat kepadanya," katanya.

Justeru beliau menjelaskan, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa dan menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk memutuskan tindakan selanjutnya.

Beliau turut memaklumkan telah menyerahkan pasport milik Vivian kepada mahkamah pada 3 Jun lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi pelaksanaan waran tangkap tersebut.

Dalam pada itu, Joo Tian yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, pihaknya dimaklumkan penggambaran di Singapura yang sepatutnya melibatkan pasangan tersebut telah ditangguhkan.

Pasangan itu kini menghadapi tuduhan bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook berhubung kandungan gambar dan komen yang mengandungi logo Halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Pertuduhan di bawah subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu didakwa dilakukan di 568-14-18, Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di Kuala Lumpur pada pukul 10.48 malam antara 11 Julai dan 12 Julai 2013.

Mereka juga menghadapi pertuduhan mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 iaitu mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ antara pukul 9 malam, 6 Julai 2013 dan 2 pagi, 7 Julai 2013 di alamat yang sama di Kompleks Mutiara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment