My Add

Saturday 14 June 2014

Jenama lokal dan aura Piala Dunia

Di Sebalik Jenama

DEMAM Piala Dunia FIFA 2014 sudah bermula Khamis lepas. Acara 4 tahun sekali ini mengundang 22 penaja korporat yang mengambil kesempatan untuk meningkatkan imej mereka sebagai jenama global yang unggul dalam kategori masing-masing.

Antara lain Coca Cola, Adidas, Hyundai, Kia Motors, Sony, Visa dan McDonalds sudah menjadi sinonim dengan Piala Dunia sejak sekian lama.

FIFA memperkenalkan 3 tahap penajaan untuk acara kali ini. Tahap pertama adalah sebagai rakan kongsi FIFA yang merupakan penglibatan langsung dan paling bermakna dalam program pembangunan bolasepak dunia dan memberi nilai tambah kepada jenama yang terlibat.

Tahap kedua ialah sebagai penaja yang membolehkan jenama menggunakan logo dan aset-aset tertentu serta pendedahan media dan penjualan tiket.

Tahap ketiga ialah bagi penyokong kebangsaan di negara tuan rumah untuk melibatkan diri dalam setiap acara dan promosi FIFA di sepanjang kejohanan.

Majalah Forbes menganggarkan FIFA akan mencapai perolehan berjumlah lebih dari AS$4 bilion dan ini termasuklah hak penyiaran TV, perisian permainan komputer, jualan produk, jualan tiket dan sebagainya.

Tajaan berjuta-juta ringgit ini tentulah tidak mampu dibiayai oleh jenama tempatan di Malaysia. Namun dengan menggunakan kaedah pemasaran gerila, kesempatan untuk melibatkan jenama dalam acara berprestij dan paling popular ini dapat dimanfaatkan.

Power Roots umpamanya telah menjadi penaja bersama siaran Piala Dunia FIFA di saluran Astro pada tahun 2006 dan 2010. Walaupun tidak dibenarkan menggunakan logo rasmi Piala Dunia FIFA, namun penglibatan ini telah melonjakkan imej jenama tersebut dan hasilnya terbukti melalui peningkatan jualannya dan kedudukannya sebagai jenama nombor satu dalam kategorinya bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pasaran Asia Barat yang diterokainya.

Untuk Piala Dunia FIFA 2014 pula, jenama produk minuman kesihatan dan kecantikan yang baru iaitu Aurawhite menjadi rakan kongsi media akhbar Kosmo melalui penajaan sisipan Rentap Brazil yang diedarkan secara percuma setiap hari mulai 12 Jun. Pakej tajaan ini termasuk siri jelajah Rentap Brazil Kosmo di restoran-restoran terpilih yang menyiarkan siaran langsung kejohanan dan menyajikan berbagai aktiviti menarik dan hadiah-hadiah lumayan untuk para peminat.

Aurawhite dapat memperkenalkan produk-produk keluarannya dan berinteraksi terus dengan sasaran penggunanya. Mereka diharapkan akan teruja dengan jenama Aurawhite sekaligus mempunyai persepsi bahawa ia penaja penting

Piala Dunia, walaupun tidak dibenarkan menggunakan sebarang logo atau produk rasmi Piala Dunia.

Kaedah komunikasi pemasaran bersepadu termasuk platform media sosial membolehkan berita dan maklumat tentang penglibatan jenama dan perhubungannya dengan pengguna sasaran disebarkan dengan lebih luas dan akhirnya menjadi buah mulut pengguna tersebut.

Strategi ini juga digunakan oleh Nike untuk mencabar jenama Adidas penaja rasmi sejak 1970. 10 pasukan negara yang menggunakan pakaian dan kasut Nike termasuklah negara tuan rumah Brazil, Amerika Syarikat, England dan Portugal.

Adidas pula kurang satu melalui penajaan 9 pasukan termasuk German, Argentina, Rusia, Nigeria dan juara bertahan Spanyol.

Dalam tahun 2013 sahaja produk produk berkaitan bolasepak mencapai jualan berjumlah AS$2.4 bilion bagi Adidas sementara Nike pula mencapai jualan AS$1.9 bilion.

Strategi Nike termasuklah menaja pemain pemain terhandal termasuk pemain nombor 1 dunia Cristiano Ronaldo tanpa menyebut perkataan `Piala Dunia’. Adidas pula menaja Lionel Messi yang dianggap sebagai pemain nombor 2 dunia.

Jenama lokal tidak harus takut melakukan eksperimen pemasaran dan pemasaran gerila. Ia mampu mengejutkan jenama yang telah lama bertapak dan menguasai pasaran.

Mampukah Aurawhite dengan strategi gurila ini meletakkan jenamanya kepada kedudukan yang lebih baik daripada sekarang? Hanya masa, kaedah pemasaran dan promosi yang mantap disokong oleh produk yang berkualiti akan menentukannya.

* PENULIS adalah bekas Pengurus Besar Periklanan Kumpulan Utusan. Kini Konsultan Komunikasi Pemasaran Lensa Film dan Jurulatih Kanan ClickAcademy Asia. E-mel: adi@ClickAcademyAsia.com - UTUSAN

No comments:

Post a Comment