My Add

Thursday 19 June 2014

Malaysia sedia anjur Persidangan Pengakap Sedunia

 * NAJIB Tun Razak bersama Rosmah Mansor bergambar dengan sebahagian daripada ahli persatuan Pengakap yang hadir semasa pembukaan Ibu Pejabat Biro Pengakap Sedunia di Menara Sentral Vista, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri
KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Malaysia menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah Persidangan Pengakap Sedunia Ke-41 dan Forum Pengakap Muda Sedunia Ke-13 yang dijadualkan berlangsung pada 2017.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap, pertubuhan pengakap di negara-negara lain memberi sokongan terhadap hasrat Malaysia itu.

"Saya berharap pengundian yang bakal dijalankan di Slovenia hujung tahun ini akan memihak kepada Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Pejabat Biro Pengakap Dunia di Menara Sentral Vista di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Naib Presiden Filipina, Jejomar C. Binay; Setiausaha Agung Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM), Scott Teare; Ahli Jawatankuasa WOSM, Simon Hang-Bock Rhee dan Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr. Shafie Mohd. Salleh.

Pejabat baharu Biro Pengakap Dunia itu berfungsi sebagai pusat khidmat bagi operasi antarabangsa WOSM.

Perdana Menteri turut menyatakan kegembiraannya dengan keputusan Biro Pengakap Dunia untuk memindahkan operasinya ke Malaysia.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua," ujarnya.

Beliau menyifatkan pertubuhan pengakap yang mempunyai lebih 40 juta ahli di 162 negara sebagai pergerakan yang berupaya membawa perubahan dalam kehidupan manusia.

Sementara itu, pejabat yang menempatkan sebanyak 30 kakitangan dari pelbagai negara itu berfungsi sebagai pusat khidmat bagi operasi antarabangsa WOSM.

Dengan pembukaan pejabat tersebut, rangkaian hubungan antara pejabat-pejabat Biro Pengakap Dunia yang lain di Brussels, Kaherah, Kiev, Geneva, Manila, Nairobi dan Panama City menjadi semakin meluas.

Langkah itu membolehkan WOSM yang berpangkalan di Geneva berkomunikasi dengan pertubuhan-pertubuhan pengakap kebangsaan di sebanyak 162 negara di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Scott Teare berkata, sebanyak tujuh bandar raya telah disenarai pendek dan Kuala Lumpur akhirnya dipilih sebagai lokasi Pejabat Biro Pengakap Dunia yang baharu.

Enam bandar raya lain yang turut disenarai pendek adalah London, Dubai, Bangkok, Geneva, Paris dan Singapura.

"Kuala Lumpur dan WOSM mempunyai gabungan yang unik. Kota metropolitan ini menonjolkan kehidupan yang moden manakala WOSM menghimpunkan anak-anak muda yang memiliki nilai-nilai murni dan kukuh," katanya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment