My Add

Thursday 19 June 2014

40,568 murid pesakit dapat manfaat Sekolah Dalam Hospital

 * MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan M. Aniq Bazli Shahri, 9, (kiri) ketika beliau melawat sekolah dalam hospital (SDH) di Hospital Selayang, semalam. Turut hadir Noorainee Abdul Rahman (kanan) dan Dr. S. Subramaniam (tiga, kanan). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Penubuhan Sekolah Dalam Hospital (SDH) di 10 buah hospital kerajaan di seluruh negara telah membolehkan sebanyak 40,568 murid pesakit menerima manfaat dalam tempoh dari Julai 2011 hingga Mac 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak tiga lagi SDH akan diwujudkan di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak menjelang akhir tahun ini bagi memenuhi tanggungjawab menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, lebih banyak SDH perlu diwujudkan memandangkan statistik tahun 2012 sahaja menunjukkan jumlah pesakit yang berusia lima hingga 19 tahun di hospital-hospital kerajaan adalah melebihi 200,000 orang.

"Ini menunjukkan bahawa kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk mewujudkan lebih banyak SDH secara berperingkat-peringkat di seluruh negara bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit murid," katanya ketika berucap merasmikan SDH Fasa 2 dan Fasa 3 di Hospital Selayang di sini hari ini.

SDH yang ditubuhkan dalam Fasa 2 adalah Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, Pahang; Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan manakala SDH Fasa 3 adalah Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor; Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Selayang.

Yang turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Penaung Projek Hati Nurani: SDH, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan.

Menurut Muhyiddin, kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Nurul Yaqeen telah berjaya mengembangkan SDH yang pada asalnya bermula di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

"Ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan terutamanya Yang Berhormat Menteri Kesihatan di atas komitmen menyediakan ruang untuk SDH di bangunan-bangunan baharu hospital yang mempunyai kapasiti katil 500 buah atau lebih," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan mewujudkan pusat latihan khusus di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, Kelantan bagi melatih guru-guru SDH secara lebih tersusun dan komprehensif.

Katanya, pendekatan berasaskan didik hibur yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di SDH serta suasana pembelajaran yang santai memberikan kesan positif terhadap proses pemulihan pesakit kanak-kanak.

"SDH boleh dianggap sebagai terapi bagi pesakit kanak-kanak iaitu proses rawatan yang bukan bersifat farmaseutikal, sebaliknya menggunakan pendekatan psikologi, ini secara tidak langsung membantu menggalakkan proses pemulihan mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment