My Add

Tuesday 17 June 2014

Malaysia sentiasa tegas

 Hamzah Zainuddin 
KUALA LUMPUR, ISNIN 16 Jun, 2014: Malaysia tidak akan mengikut telunjuk mana-mana pihak termasuk kuasa besar dunia walaupun bersyukur mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) dan China untuk merebut kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, selaku sebuah negara berdaulat, Malaysia sentiasa tegas mempertahankan pendirian dan kerajaan tidak pernah ghairah untuk menjadi pengikut mana-mana kuasa besar sebaliknya menjalin hubungan baik dengan semua negara.

Katanya, usaha Malaysia yang bersungguh-sungguh melobi sehingga dilihat menjadi calon pilihan dari Asia Pasifik untuk memenangi kerusi UNSC adalah disebabkan prestij dan peranan besar yang boleh disumbangkan negara di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita tidak akan ikut telunjuk mana-mana pihak. Jika ada yang cuba berfikiran begitu, ia tidak benar sama sekali malah sokongan yang diberi AS dan China bukan kerana kita ghairah nak jadi pengikut mereka tetapi kerana rekod Malaysia. Kita sebagai negara berdaulat ada pendirian dan maruah kita.

"Tapi sudah tentu kita bersyukur apabila mendapat sokongan tersebut kerana memudahkan usaha Malaysia untuk memenangi kerusi UNSC," katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa rang undang-undang Akta Perbekalan Tambahan 2014, di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu ketika menjawab pertanyaan Mohd. Zaim Abu Hasan (BN-Parit) yang ingin tahu adakah tindakan memburuk-burukkan negara sendiri oleh pemimpin pembangkang terutama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kesan kepada usaha melobi oleh Malaysia, Hamzah mengakuinya.

Kata Hamzah, berdasarkan pengalamannya sendiri ketika mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin negara tertentu bagi tujuan melobi, ada sesetengahnya membangkitkan isu mengenai dakwaan pembangkang tetapi selepas diperjelaskan, akhirnya mereka faham hal sebenar.

"Reformasi yang kita hendak buat melalui UNSC dan juga menerusi ASEAN adalah satu agenda besar, tetapi biasalah selagi wujud pembangkang mereka akan tetap membangkang apa sahaja usaha kerajaan walaupun menyedari langkah tersebut sebenarnya baik kepada negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment