My Add

Tuesday 17 June 2014

Malaysia bukan negara sekular - Jamil Khir

 
KUALA LUMPUR, ISNIN 16 Jun, 2014: Malaysia bukan merupakan sebuah negara sekular berdasarkan fakta sejarah penubuhan negara ini yang berasaskan kepada Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, perkara itu diperkukuhkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengatakan agama Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan.

Beliau berkata, kedudukan ini juga dizahirkan dengan adanya peruntukan lain seperti dalam Fasal (4) Perkara 11 berkenaan dengan penyekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan penganut agama Islam oleh undang-undang Negeri dan Persekutuan.

Malah, katanya, dalam Fasal (2) Perkara 12 tentang hak berkenaan dengan pendidikan, di mana sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan, menyenggarakan, membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi Islam atau membantu untuk mengadakan ajaran dalam agama Islam serta melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu.

"Dalam Fasal (1A) perkara 121 juga menyebut bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular atau Islam dalam Dewan Rakyat hari ini.

Jamil Khir menjelaskan, kedudukan tersebut jelas berbeza dengan negara sekular yang tidak menetapkan sesuatu agama sebagai agama negara tetapi rakyatnya dibenarkan mengamalkan agama masing-masing.

Sementara itu, menjawab soalan sama ada hukuman hudud bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan adakah Kerajaan Persekutuan bercadang melaksanakan hukum hudud, Jamil Khir berkata, kerajaan sedia maklum berkenaan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang jenayah Syariah di negeri itu.

Namun katanya, sebelum melaksanakan undang-undang itu, peruntukan undang-undang sedia ada perlu diteliti terlebih dahulu bagi memastikan pelaksanaan undang-undang syariah itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

"Dalam hal ini kerajaan sentiasa berusaha mengambil pendekatan secara bertahap bagi memastikan undang-undang jenayah Syariah dilaksanakan termasuk memperluas bidang kuasa Mahkamah Syariah, menaiktaraf sistem kehakiman Syariah dan menyemak semula kedudukan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment