My Add

Sunday 8 June 2014

Malaysia tingkat kerjasama dengan Turkmenistan

MOHD. RIDZWAN IMAN

ASHGABAT (Turkmenistan), AHAD  08 Jun, 2014: Malaysia dijangka meningkatkan pelaburan dan kerjasama dalam pelbagai bidang dengan Turkmenistan hasil daripada lawatan dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama delegasi ke negara ini, mulai esok.

Duta Malaysia ke Turkmenistan, Norman Muhammad berkata, Malaysia dan Turkmenistan sebelum ini mempunyai kerjasama dalam bidang minyak dan gas tetapi masih banyak yang boleh dilakukan oleh kedua-dua negara dalam meningkatkan hubungan dua hala.

Katanya, lawatan Najib ke negara ini merupakan lawatan keduanya selepas lawatan pada Julai 2011 dan beliau dijangka menyaksikan lima perjanjian persefahaman ditandatangani oleh pelbagai pihak kedua-dua negara.

``Perjanjian itu antaranya melibatkan kerjasama kebudayaan, pendidikan, jawatankuasa perdagangan bersama dan pembangunan hidrokarbon,'' katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Najib akan diiringi oleh isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment