My Add

Friday 20 June 2014

MARAtv medium tarik pelabur asing

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF

 * MOHD Shafie Apdal menyentuh skrin telefon gergasi sebagai gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran MARAtv di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Annuar Musa (dua dari kanan), Ibrahim Ahmad (tiga dari kanan) dan Johan Abdul Aziz (kanan).
KUALA LUMPUR, KHAMIS 19 Jun, 2014: MARAtv akan menjadi medium penting dalam menarik golongan pelabur dan pemain industri keusahawanan dari luar negara untuk mendekati perkhidmatan dan produk khususnya yang dihasilkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan lebih dekat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Mara tidak boleh hanya menjadi 'jaguh kampung’ sebaliknya perlu lebih bersifat global terutama dalam mencapai sasaran sebagai peneraju bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan di rantau ini.

"Dunia perlu tahu bahawa Malaysia dan Mara bukan sahaja melahirkan pemenang dalam pertandingan inovasi antarabangsa semata-mata, tetapi hakikat yang harus diterima, kita telah melangkah lebih daripada itu.

"Di sinilah peranan yang akan dimainkan oleh MARAtv yang mana ia akan menyampai dan mempromosikan segala perkhidmatan, produk dan aktiviti yang kita jalankan. Lagipun, ramai pelabur asing di luar sana yang ingin tahu mengenai peluang pelaburan di negara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan MARAtv di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad, Ahli Majlis Mara, Datuk Johan Abdul Aziz dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Md. Afendi Hamdan.

Menurut Mohd. Shafie, MARAtv iaitu rangkaian televisyen berasaskan protokol internet yang mula beroperasi sejak awal Mac lalu diyakini mampu menarik empat juta langganan berdasarkan jumlah usahawan, pelajar dan kakitangan Mara.

Malah, kata beliau, 1Malaysia IPTV selaku pengendali televisyen web itu kini telah mempunyai 1.4 juta langganan sejak dilancarkan dua tahun lalu.

"Apa yang penting, kita harus tahu hampir 60 peratus remaja di rantau ini sentiasa berdamping dengan teknologi baharu dan menganggap kepentingan media baharu ini melebihi sumber maklumat lain.

"Justeru, penting untuk kita bergerak seiring dan memenuhi keperluan generasi muda untuk masa hadapan yang lebih baik," kata Shafie.

Selain itu kata beliau, MARAtv akan menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantara mengikut kesesuaian program atau rancangan yang disiarkan.

"Bagi memastikan promosi sampai di peringkat global, maka sesetengah rancangan akan disiarkan dalam bahasa Inggeris. Namun jika yang hendak disiarkan itu disasarkan kepada penduduk tempatan, kita akan menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment