My Add

Friday 20 June 2014

Pendekatan wasatiyyah utamakan ilmu

 * PENASIHAT Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin (tiga dari kiri) beramah mesra dengan Sidek Baba (dua dari kiri) dan Nasharudin Mat Isa (kiri) dalam Majlis Pelancaran Pendekatan Wasatiyyah di USIM, Nilai, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
SEREMBAN, KHAMIS 19 Jun, 2014: Pendekatan wasatiyyah yang mengutamakan ilmu dalam menjana keadilan dan kesederhanaan perlu dilakukan melalui penghayatan tafaqquh fiddin iaitu suatu gagasan falsafah mencari ilmu Islam yang benar.

Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa berkata, hal itu perlu dilakukan secara strategik dan tersusun supaya dapat menegakkan keadilan dan menolak kebatilan.

"Ketidakfahaman konsep wasatiyyah ini akan menyebabkan berlakunya penolakan serta terjemahan salah yang dibimbangi membawa kepada reaksi dan tindakan bertentangan daripada konsep sebenar," katanya di Nilai dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai ahli panel forum bertajuk Pendekatan Wasatiyyah: Ke Arah Pembangunan Lestari yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang turut disertai Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Sidek Baba.

Forum itu dikendalikan moderator yang juga Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Nabilah Yusof.

Kata Nasharudin, manhaj wasatiyyah itu tidak boleh disalahertikan sebagai berkompromi kerana ia sebenarnya membawa makna keyakinan dan kemampuan untuk meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya.

"Hal ini bukan kompromi kerana wasatiyyah tidak sama sekali mengambil mudah dalam agama dan pada masa yang sama ia juga bukan membawa kepada penafsiran agama secara ekstrem," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa MuslimUPRo turut mempersoalkan mengapa hanya Islam yang dikaitkan dengan keganasan sedangkan beberapa kejadian di Myanmar dan Afrika telah dilakukan oleh agama lain.

"Saya merujuk pandangan Profesor M. Kamal Hassan yang mengatakan bahawa dunia masa kini telah memasuki satu era penuh kemelut dan pergolakan hinggakan Islam dan umatnya menjadi sasaran utama eleman Islamophobia dan kebencian," katanya.

Oleh yang demikian katanya, adalah perlu bagi umat bermuhasabah dengan melihat kemelut semasa Islam dalam memahami agamanya serta menerima hakikat bahawa sedang berlaku kekeliruan dalam pemahaman dan amalan umat pada masa kini.

"Hari ini sudah ada pemikiran al zahiri al judud (zahiri baharu) dalam kalangan umat Islam iaitu memahami nas syarak hanya pada zahir dan berhukum dengannya manakala satu lagi golongan ialah al mu'tazilah al judud (mu'tazilah baharu) yang menolak ataupun bermudah-mudahan dalam memahami nas untuk memahami agama," tegasnya.

Justeru katanya, wujudlah dua aliran ekstrem iaitu antara yang terlalu ketat (ekstremisme) atau terlalu longgar (liberalisme) dan kedua-dua aliran ini perlu ditolak dalam memahami tuntutan agama Islam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment