My Add

Thursday 19 June 2014

Maritim Malaysia nafi minyak diesel diseludup keluar

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA, KHAMIS 19 Jun, 2014: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan minyak diesel sebanyak 700,000 liter bernilai RM2.1 juta yang dirompak oleh sekumpulan lanun daripada kapal MT Ai Maru di perairan Sedili, Kota Tinggi, Johor Sabtu lalu merupakan minyak yang diseludup keluar dari negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)nya Laksamana Madya Maritim, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, siasatan awal melalui contoh minyak diesel yang telah diuji di makmal mendapati minyak tersebut bukan datangnya dari negara ini.

“Ingin saya katakan, kita belum dapat merumuskan kes kecurian minyak dari kapal MT Ai Maru berkaitan dengan penyeludupan minyak dari negara kita.

“Siasatan mengambil masa yang agak lama kerana minyak diesel perlu diuji di makmal bagi menentukan asal minyak ini diproses, selain kita meneliti borang-borang dan rekod-rekod di mana bahan api ini dipunggah.

“Justeru, dakwaan sesetengah pihak kes rompakan kapal MT Ai Maru yang mengatakan minyak diesel ini datang dari negara kita adalah tidak berasas,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Maritim Malaysia menerima dua buah bot Rigid Hull Fenders Boat (RHFB) bernilai RM2 juta daripada kerajaan Kanada di Pejabat Daerah Maritim 5, Kuala Linggi, Masjid Tanah dekat sini semalam.

Beliau mengulas kejadian Sabtu lalu apabila sebuah kapal MT Ai Maru yang dalam perjalanan dari Singapura ke Kemboja kerugian hampir RM2.1 juta selepas dirompak sekumpulan lanun bersenjatakan pistol, besi dan parang di Tanjung Sedili di perairan Johor.

Siasatan awal Maritim Malaysia mendapati, kumpulan lanun itu mengepam keluar minyak diesel sebanyak 700,000 liter bernilai RM2.1 juta dari kapal didaftarkan di Honduras ke sebuah kapal lain yang tidak dapat dipastikan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment