My Add

Wednesday 4 June 2014

Matrade-PAM sertai pameran seni bina

Oleh NUR HANANI AZMAN

KUALA LUMPUR, SELASA 03 Jun, 2014: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) akan menyertai Pameran Seni Bina Antarabangsa ke-14 La Biennale di Venice, Itali dari 7 Jun sehingga 23 November 2014.

Matrade menerusi kenyataan memberitahu, pratonton pameran itu akan diadakan pada 5 hingga 6 Jun ini dan penglibatan negara di pameran berkenaan amat penting untuk menjenamakan industri seni bina dan seni Malaysia.

Katanya, pameran itu adalah satu platform global bagi arkitek dan artis untuk bertukar idea dan berkenalan antara satu sama lain bagi mewujudkan perkongsian perniagaan baharu.

Ujarnya lagi, pameran tertua dan pameran seni bina paling berprestij itu adalah lokasi pilihan untuk menandakan kehadiran Malaysia di arena antarabangsa bagi industri reka bentuk dan karya seni.

"Acara antarabangsa dan festival dianjurkan di Venice menunjukkan kepentingannya sebagai tempat perjumpaan bagi kebanyakan pemain industri seni bina dan reka bentuk berpengaruh di dunia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pavilion Malaysia dengan tema 'sufficiency' yang bermaksud 'lengkap' bakal mempamerkan pelbagai reka bentuk dan seni bina kontemporari serta karya seni daripada 24 peserta pameran terdiri dalam kalangan arkitek, artis, pereka multimedia dan institut pengajian tinggi.

Matrade dalam pada itu berharap pameran tersebut akan terus berkhidmat sebagai sebuah tempat penting bagi Malaysia mengembangkan bakat dan kepakaran dalam sektor berkenaan di pasaran antarabangsa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment