My Add

Wednesday 4 June 2014

Sasar kedudukan 10 terbaik dunia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR, SELASA 03 Jun, 2014: Malaysia menyasarkan untuk berada pada kedudukan 10 ter­baik dunia dalam menjalankan perniagaan atas talian untuk tem­poh enam tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim berkata, sasaran itu boleh dicapai berdasarkan kepada komitmen kerajaan me­nyediakan pelbagai inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata, ini termasuklah usaha sama dengan pemain industri, antaranya, eBay, Paypal dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Tambahnya, SME Corp. juga menjalin kerjasama dengan Microsoft untuk mempromosikan Pakej Office 365 yang diaplikasikan menerusi perkhidmatan awan bagi mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung PKS.

"Bagaimanapun, kaji selidik yang dijalankan MDeC mendapati hanya 30 peratus PKS dalam sektor pembuatan manakala 18 peratus daripada sektor perkhidmatan yang menggunakan sistem perkhidmatan awan ini disebabkan kurangnya kepakaran, tahap keselamatan, kepekaan terhadap undang-undang dan keselamatan data dalam kalangan PKS terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Memperkasakan E-Dagang Untuk Membantu PKS Mencapai Pasaran Baharu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Joseph Y.Yun; Ketua SME Hubungan ASEAN menerusi Perdagangan dan Pelaburan, Thitapha Wattanapruttipaisan dan Wakil Negara Majlis Perniagaan ASEAN-AS, Ezani Mansor.

Bengkel tersebut dihadiri 150 peserta daripada kalangan PKS yang ingin memanfaatkan kelebihan e-dagang dalam mengembangkan perniagaan ke pasaran yang lebih luas.

Sehingga April lalu, sebanyak 26,285 terminal e-bayaran telah digunakan dan memberi manfaat kepada 18,206 PKS di seluruh negara.

Berdasarkan kepada Laporan Global A.T Kearney Bagi Peruncitan, China berada pada kedudukan teratas dalam menjalankan perniagaan atas talian diikuti oleh Jepun dan AS manakala hanya dua negara Asia Tenggara berada dalam kelompok 30 terbaik iaitu Malaysia dan Singapura.

Tahun ini, perniagaan kepada pelanggan (B2C) menerusi e-dagang dijangka meningkat 20.1 peratus secara global dengan nilai jualan mencecah AS$1.5 trilion (RM4.84 trilion).

Kajian pasaran juga menunjukkan buat pertama kali tahun ini, pengguna Asia Pasifik dijangka berbelanja lebih banyak secara atas talian berbanding pengguna di Amerika Utara dengan menyaksikan jualan B2C bagi e-dagang melonjak AS$525.2 bilion (RM1.69 trilion) di Asia Pasifik manakala AS$482.6 bilion (RM1.56 trilion) di Amerika Utara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment