My Add

Thursday 5 June 2014

MCE platform promosi produk baharu

Oleh LILIS SURIANI OMAR

Add caption
KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Sambutan menggalakkan pengunjung ke Ekspo Pengguna Malaysia (MCE) 2014 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membuka ruang kepada pengusaha tempatan melebarkan sayap perniagaan ke peringkat le­bih luas.

Ejen Pemasaran Sireh Impian Sdn. Bhd., Mohd. Raimi Cheta berkata, penganjuran ekspo besar-besaran itu menjadi platform terbaik pihak­nya untuk memperkenalkan produk terbaharu yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Katanya, walaupun pertama kali diadakan, usaha kerajaan dilihat mampu mengeratkan hubungan antara pengusaha dengan badan koperasi untuk mengete­ngahkan produk keluaran tempatan seiring dengan pembangunan prospek ekonomi negara.

“Alhamdulillah, ekspo ini telah membantu kami mempromosikan produk kami iaitu minuman tenaga dengan ekstrak buah manggis kepada masyarakat. Walaupun masih baharu, secara tidak langsung produk kami dapat menarik minat mereka untuk menjadi pengedar dan menambah bilangan stokis di seluruh negeri.

“Saya amat menghargai usaha yang dibawa pihak kementerian dan berharap lebih banyak pendedahan diberikan kepada umum supaya ekspo di tahun depan dibanjiri dengan lebih ramai pengunjung," katanya ketika ditemui di ekspo berkenaan di Menara Matrade Jalan Duta di sini hari ini.

Selain aktiviti jualan, pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah, ceramah Transformasi Perniagaan dan beramah mesra dengan artis-artis seperti Jaafar Onn, Utopia dan Ann Zulkarnain.

Sementara itu, antara produk yang mencuri tumpuan, minuman botani Jussulin keluaran syarikat Hardee Herba (M) Sdn. Bhd. berasaskan tujuh ulam-ulaman seperti daun Tenggek Burung, Jarum Tujuh Bilah, Pandan Hutan, Tebu Teberau, Lalang, Peria Kambas dan Peria Katak.

Menurut stokis, Muhammad Farid Fatah Hassan, 22, pengambilan minuman tersebut dikatakan mampu mengurangkan tahap glukosa di dalam badan kerana kandungan antioksidanya bertindak me­merangkap radikal bebas yang menjadi punca segala penyakit.

“Minuman Jussulin terbukti bebas daripada sebarang bahan kimia dan mendapat pengiktirafan sijil analisis daripada Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia.

“Produk ini sangat sesuai bagi mereka yang menghadapi masalah kandungan gula terlalu tinggi. Bagi penghidap kencing manis pula, minuman botani ini ternyata menjadi rawatan alternatif bagi menyembuhkan penyakit," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment