My Add

Thursday 5 June 2014

KP Kesihatan jelas isu coklat Cadbury

 Dr. Noor Hisham Abdullah
MUKODIMAH

ISU penemuan Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi (porcine) dalam coklat Cadbury menarik perhatian umum. Perbagai persoalan ditimbulkan antaranya kenapa Kementerian Kesihatan begitu cepat mengumumkan hasil ujian makmal, sedangkan ujian kedua belum dilakukan. Wujud juga desakan agar pihak kementerian menjelaskan bagaimana DNA babi boleh wujud dalam sampel yang diuji sedangkan ujian yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan tiada DNA babi dalam sampel coklat itu yang diambil dari kilang. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menjawab segala persoalan itu dalam satu temubual dengan wartawan MUZDALIFAH MUSTAPHA semalam. Ikuti sedutan temubual itu.

UTUSAN
: Mengapakah kementerian mengambil masa yang lama untuk melakukan kajian ke atas coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond, analisis makmal dilakukan pada Februari dan hasilnya hanya diperoleh pada Mei?.

NOOR HISHAM : Sampel telah dihantar untuk ujian makmal pada 27 Februari selepas Jabatan Kawalan dan Keselamatan melakukan pemeriksaan makanan mengikut Akta Makanan 83 iaitu bertujuan memeriksa isi kandungan sesuatu makanan sama atau tidak dengan pelabelan. Dua sampel coklat itu telah diambil secara rawak oleh kakitangan jabatan di sebuah premis jualan di salah satu negeri dan hasil kajian sampel diperoleh pada 21 Mei yang lalu. Jangka masa tersebut adalah biasa untuk proses mengkaji sebarang sampel kerana pihak kami harus melakukan kajian ke atas beratus-ratus sampel yang diambil.

Bagaimana dua sampel tersebut boleh dicemari dengan DNA babi (porcine) sedangkan coklat tersebut dibalut dengan aluminium daripada kilang dan mengapa sampel Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak tercemar?

Dalam kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, saya telah menyatakan dua jenis coklat tersebut telah tercemar dengan DNA porcine. Saya tidak mengatakan dua sampel itu dibuat dengan campuran porcine. Saya juga tidak mengatakan pencemaran telah berlaku di premis tersebut. Pencemaran boleh berlaku di mana-mana. Memandangkan jarak perjalanan lokasi sampel diambil dengan lokasi makmal (pusat kajian kawalan dan keselamatan makanan di Sungai Buloh) adalah jauh maka kebarangkalian besar pencemaran boleh berlaku di mana-mana. Ini yang sedang pihak kami siasat dan siasatan kami juga memerlukan masa kerana terlalu banyak aspek mesti dilihat. Berbeza dengan Jakim, mereka mengambil sampel terus dari kilang.

Keputusan analisis makmal pihak kementerian dan Jakim berbeza. Keputusan itu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat terhadap status halal dua jenis coklat itu. Mengapa kementerian tidak terus bekerjasama dengan Jakim sebelum mengumumkan mengenai status halal coklat tersebut?

Keputusan hasil kajian dua sampel itu didapati pada 21 Mei. Ketika itu saya dan Menteri, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berada di Geneva bagi menghadiri Perjumpaan Kesihatan Dunia (WHA) yang berlangsung dari 19 hingga 24 Mei oleh Pertubuhan Ke­sihatan Dunia.

Saya dan menteri telah menerima mesej daripada pihak kementerian di Kuala Lumpur bahawa satu hasil kajian terhadap dua sampel coklat yang tercemar dengan DNA porcine disiarkan dalam media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sepatutnya maklumat seumpama itu tidak boleh disiarkan tanpa kebenaran saya. Namun hasil kajian itu telah dibocorkan terlebih awal. Saya dan menteri ketika itu tiada pilihan. Sebagai mengambil tanggungjawab tersebut dan mengelakkan daripada perkara lain yang lebih buruk timbul, saya dan menteri bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan bahawa dua sampel itu telah tercemar.

Apa prosedur operasi standard (SOP) kementerian kesihatan dalam melakukan kajian ke atas makanan dan apakah Datuk berpuas hati dengan sistem dan peraturan sedia ada atau ingin mencadangkan peraturan baharu?

Sistem kawalan dan keselamatan makanan dilakukan secara berkala oleh Jabatan Kawalan dan Keselamatan Makanan di bawah Akta Makanan 83. Pemeriksaan dilakukan ke atas semua jenis makanan dengan mengikut sistem jabatan. Sistem yang dimaksudkan adalah jenis dan jumlah makanan. Semua makanan yang diambil sebagai sampel akan diuji keselamatannya di lebih 22 makmal yang dilantik oleh kementerian.

Jika sesuatu makanan itu disahkan mengandungi pencemaran, sampel tersebut perlu melalui satu lagi kajian iaitu `proses pengesahan kajian'. Selepas proses kedua itu jika masih didapati sampel masih tercemar jabatan akan mengambil sampel itu dan diserahkan kepada Jakim. Pihak kami hanya boleh membuat kenyataan terhadap sesuatu makanan itu tercemar atau tidak selepas Jakim membuat keputusan. Di sini saya ingin nyatakan bahawa kementerian tidak mempunyai kuasa untuk menentukan halal dan haram bagi sesuatu bahan makanan yang tercemar kerana keputusan itu hanya boleh diputuskan oleh Jakim.

Tiga perkara perlu dilihat semula bagi melancarkan semua aktiviti dalam mana-mana kementerian dan agensi.

Pertama, menyelaraskan semua makmal di bawah satu agensi yang sama dengan menggunakan satu sistem standard sahaja termasuk untuk jabatan kimia supaya mengikut satu piawaian sahaja. Kedua, kementerian akan meningkatkan kerjasama dengan Jakim yang bukan sahaja soal status halal dan haram bahkan vaksin, ubat-ubatan, organ transplan dan perkara berkaitan Islam. Dan ketiga, semua kenyataan yang berunsurkan perkara sensitif seperti ‘babi' perlu mempunyai sistem ‘coding' supaya mengelakkan berlakunya kebocoran maklumat.

Ada desakan supaya Datuk letak jawatan, apa respon Datuk?

Bukan saya yang sepatutnya melepaskan jawatan. Saya tidak bersalah malah saya tidak berada dalam negara ketika keputusan kajian dikeluarkan. Individu yang membocorkan maklumat awal itu perlu dikenakan tindakan, dia yang sepatutnya meletakkan jawatan. Kami sedang melakukan siasatan terhadap pihak tersebut. Pihak yang bersalah harus dikenakan tindakan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment