My Add

Wednesday 18 June 2014

MH370: Pak Lah mahu semua pihak kekal positif

* ABDULAH Ahmad Badawi (tengah) mendengar perkara yang diperkatakan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo (dua dari kanan) ketika Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Mengenai Ekosistem Kawasan Rawa di Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU, SELASA 17 Jun, 2014: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu semua pihak kekal positif tanpa membuat sebarang tuduhan melulu dan tidak berasas berhubung isu pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang lebih 100 hari tanpa sebarang petunjuk.

Menurut beliau, apa yang lebih penting adalah sebarang pendapat atau tuduhan yang dikenakan itu tidak mengganggu sebarang usaha yang masih dijalankan oleh pihak berkenaan termasuk kerajaan Malaysia dalam mencari pesawat berkenaan.

"Kita ucap terima kasih atas kesungguhan yang ada pada mereka (pihak berkuasa) untuk terus membuat penyelidikan (siasatan) mengenai apa yang berlaku (kehilangan MH370). Kita tak tahu apa yang berlaku. Sampai hari ni pun kita tak tahu. Tapi saya tahu ada kesungguhan daripada pihak-pihak ini untuk terus menyiasat.

"Saya tahu macam-macam pandangan yang telah dikemukakan atau yang telah diberikan sehingga yang menimbulkan macam-macam tuduhan pun ada juga. Tapi apa pun, kita bagilah peluang kepada mereka (untuk teruskan siasatan). Itu yang paling penting," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Penerbangan MH370 ke Beijing dengan 239 penumpang bersama 12 anak kapal itu hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lalu.

Kehilangan tersebut yang menimbulkan tanda tanya menyebabkan ramai pihak tampil melontarkan pelbagai pandangan dan teori berhubung nasib yang menimpa penumpang serta krew pesawat berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment