My Add

Wednesday, 18 June 2014

Militan ditembak mati bersembunyi di dalam lubang

KOTA KINABALU, SELASA 17 Jun, 2014: Seorang militan Sulu yang ditembak mati pasukan keselamatan di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu tahun lalu didapati bersembunyi di dalam lubang di tanah, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Sarjan Tungkat Anak Unsa daripada Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkalan di Batu Kawa, Sarawak berkata, militan itu, yang cuba menyerang hendap pasukan keselamatan seorang diri, ditembak kira-kira pukul 6.30 pagi 7 Mac tahun lalu, hampir 15 jam selepas pertempuran tercetus di kawasan sama yang mengakibatkan 17 militan ditembak mati.

Beliau berkata, lubang tempat persembunyian militan itu adalah satu daripada beberapa lubang yang ditemui di tanah di sebuah lembah.

Ketika disoal peguam Datuk N. Sivananthan tentang kedalaman lubang itu, Tungkat berkata, ada antara lubang itu sedalam kira-kira 1.5 meter, manakala yang lainnya pula lebih dalam.

Beliau memberitahu, sebelum berlaku pertempuran sehari sebelum itu, beliau dan pasukannya, yang berada di kawasan lebih tinggi, ternampak 10 ke 20 lelaki bersenjata sedang berjalan di lembah berkenaan.

Bagaimanapun Sivananthan berkata, ketua platun, Asisten Supritendan (ASP) Mursalim Mohd. Salleh, yang terlibat dalam pertempuran itu, memberitahu mahkamah sebelum ini bahawa beliau ternampak 30-35 lelaki bersenjata berjalan di kawasan sama.

"Perbezaan antara kedudukan saya dan kedudukan ASP Mursalim kira-kira 20-25 meter, maka penglihatan kami berbeza," jelas Tungkat.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan kerana pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk sebuah kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment