My Add

Wednesday 18 June 2014

Pemandu lari selepas rempuh murid tahun satu

KOTA KINABALU, SELASA 17 Jun, 2014: Seorang murid lelaki tahun satu patah kaki selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Cecily Utara, Batu 4, Sandakan dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, pemandu terbabit yang berusia 30-an terus memecut kenderaannya meninggalkan mangsa, Mohd. Zul Hakeem Hamsah, 7, yang meraung kesakitan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan murid Sekolah Rendah Kebangsaan Sung Siew Batu 4, Sandakan sedang melintas jalan di hadapan sekolah berkenaan.

"Suspek yang dipercayai menaiki kereta Perodua Kenari dari arah Batu 4 Indah Jaya menghala ke Jalan Cecily Utara gagal mengawal kenderaannya hingga merempuh mangsa dan bertindak melarikan diri selepas kejadian.

"Ekoran itu, kanak-kanak malang tersebut mengalami kecederaan patah kaki kanan dan lebam di kepala," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rowell memberitahu, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Duchess of Kent oleh guru sekolah tersebut dan kini dilaporkan stabil.

Menurut beliau, pemandu kenderaan terbabit mengambil keputusan tampil ke Balai Polis Trafik Sandakan tengah hari ini untuk melaporkan mengenai kejadian.

"Orang ramai yang berada di lokasi kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Sandakan di talian 089-242254 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment