My Add

Monday 9 June 2014

Militan tiada kaitan politik

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

 * AHMAD Zahid Hamidi bersalaman dengan beberapa orang pegawai polis ketika hadir dalam sesi lawatan kerja beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling, Kedah, semalam.
BALING, AHAD 08 Jun, 2014: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan tiada parti politik di negara ini yang terlibat dalam aktiviti keganasan di seluruh dunia biar pun ada dalam kalangan anggota militan itu menjadi ahli kepada parti tertentu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan pihaknya mendapati, pemergian beberapa individu yang terlibat dengan militan di luar negara juga bukan atas restu kepimpinan parti politik berkenaan.

"Sama ada kerajaan atau pembangkang, tiada parti politik di negara ini yang menggalakkan perkara itu.

"Kalau kebetulan ahli parti tertentu, saya difahamkan, tindakan mereka itu bukannya atas restu kepimpinan mana-mana parti politik di negara ini untuk mereka menjadi pengganas," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim dan Ahli Parlimen Baling yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sementara itu katanya, polis terutamanya menerusi bahagian Cawangan Khas (SB) tidak akan menghentikan operasi memantau kegiatan militan bagi memastikan Malaysia tidak menjadi sarang melahirkan kelompok sedemikian.

Menurutnya, ketegasan kerajaan menangani isu itu sejak sekian lama adalah selari dengan pendekatan umat Islam di negara ini yang mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan beragama.

"Saya beri jaminan, pihak polis menerusi SB tidak pernah berhenti memburu mereka sampai ke lubang cacing. Apa pun saya harap kesederhanaan ini bukan saja dalam kalangan umat Islam malah turut diamalkan oleh penganut agama lain," tegasnya.

Ditanya reaksi negara asing berhubung ketegasan Malaysia dalam menangani isu keganasan tersebut, Ahmad Zahid memberitahu setakat ini tiada negara yang mengkritik atau menghantar bantahan.

"Baru-baru ini kita kita menghantar seorang militan negara luar untuk diheret ke muka pengadilan di negara berkenaan. Sama ada mempunyai perjanjian ekstradisi atau tidak, kita akan menghantar militan itu yang melarikan diri ke negara ini bagi menjalani pendakwaan.

"Ketegasan seperti ini tidak pernah dikritik sebaliknya kita dipuji kerana sentiasa komited termasuk bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) serta polis ASEAN (Aseanapol) dalam memastikan keselamatan rantau ini dan dunia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment