My Add

Monday 9 June 2014

9.1 juta liter diesel dirampas

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

 * HASAN Malek (depan, empat dari kanan) bersama Ahmad Bashah Md. Hanipah (lima dari kiri) melontar buah kelapa semasa acara sukaneka Hari Keluarga KPDNKK 2014 di Taman Ekuestrian, Putrajaya, semalam. Turut sama, Alias Ahmad (empat dari kiri). - UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA, AHAD 08 Jun, 2014: Sebanyak 12 buah kapal dan 9.1 juta liter minyak diesel dengan nilai keseluruhan RM58 juta telah dirampas dan disita sejak Operasi Diesel Selatan (ODIS) dilaksanakan di perairan selatan tanah air pada 9 Mei lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, aktiviti haram penyeludupan diesel bersubsidi dilaporkan sering berlaku di perairan selatan iaitu sekitar perairan Sungai Rengit, Kota Tinggi dan perairan Pasir Gudang.

Difahamkan kejayaan besar itu hasil daripada penglibatan Pasukan Petugas Khas yang dikoordinasikan Jabatan Peguam Negara dan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Modus operandi sindiket terbabit ialah memindahkan bahan bakar yang dikumpulkan di jeti persendirian melalui kapal tangki kecil sebelum dipindahkan ke kapal tangki besar yang menunggu di kawasan itu dan kemudiannya dijual pada kapal asing bagi tujuan eksport," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Taman Ekuestrian, Putrajaya, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad.

Dalam pada itu, Hasan berkata, dalam tiga operasi serbuan melalui ODIS kali keempat (ODIS 4) yang dijalankan selama tiga hari bermula 4 Jun lalu, sebanyak tiga buah kapal tangki, enam lori tangki, sebuah lori seberat satu tan dan 625,410 liter diesel dengan nilai anggaran berjumlah RM3.2 juta berjaya dirampas.

Katanya, pada 4 Jun lalu, sebuah kapal tangki yang didaftarkan di Ulanbataar, Mongolia sebagai City Point telah disita di Jeti Lombong Pasir Modus, Sungai Kota Tinggi, Johor, selepas didapati mengandungi sebanyak 76,800 liter diesel.

"Pada Jumaat lalu pula sebanyak dua kapal telah disita iaitu sebuah tangki yang didaftarkan sebagai Jeti Interdi persendirian, Kampung Tanjung Belungkur, Kota Tinggi dan sebuah kapal tangki, Hui Chai di perairan Kuala Sungai Kong, Pasir Gudang selepas didapati mengandungi diesel iaitu sebanyak 238,610 liter dan 310,000 liter.

"Semua kapal tangki itu disita selepas kapten kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen yang berkaitan dengan bahan bakar tersebut," katanya.

Sementara itu, mengulas isu kekurangan bekalan tepung dan minyak masak berikutan banyak diseludup di sempadan negara, Alias meminta anggota penguat kuasa memainkan peranan dengan membanteras aktiviti penyeludupan tersebut.

Katanya, pihaknya tidak boleh mengawal penghantaran bekalan tepung dan minyak masak ke negeri yang terletak berhampiran kawasan sempadan kerana dibuat berdasarkan permintaan pasaran.

"Kita dapati ada lebih 130 lorong tikus di kawasan sempadan ini yang menjadi aktiviti penyeludupan barangan dari Malaysia jadi kita minta kerjasama semua pihak penguat kuasa terutama polis, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk membantu kita mengatasi masalah ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment