My Add

Wednesday 4 June 2014

Najib, UMNO saman Malaysiakini

Oleh AMIRUDDIN HARUN

KUALA LUMPUR, SELASA 03 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh memfailkan saman terhadap portal berita propembangkang, Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel yang berunsur fitnah pada Mei lalu.

Najib selaku plaintif kedua mengemukakan saman tersebut di Mahkamah Tinggi di sini atas kapasiti peribadi beliau manakala Ab. Rauf sebagai plaintif pertama bertindak bagi pihak UMNO.

Dalam saman yang difailkan pada 30 Mei lalu, mereka menamakan syarikat pemilik dan penerbit laman portal tersebut, Mkini Dotcom Sdn. Bhd.; Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan Ketua Pengarangnya, Fathi Aris Omar masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Writ saman tersebut yang difailkan melalui firma guaman, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak diperoleh oleh pihak media hari ini. Pengurusan kes itu yang pertama dijadualkan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, S. M. Komathy Suppiah pada 18 Jun ini.

Menurut peguam Raihanah Ariffin mewakili pihak plaintif, salinan termeterai writ saman itu yang diperoleh dari mahkamah hari ini telah diserahkan kepada pihak defendan di pejabat mereka pada pukul 1 petang.

Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif menyatakan, tuntutan saman itu ekoran daripada tindakan pihak defendan melaporkan, mengeluarkan dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk A case of the PM reaping what he sows dan How much will Najib spend to keep Terengganu? di bawah ruangan Yoursay di laman portal berkenaan, www.malaysiakini.com pada 14 Mei lalu.

Menurut mereka, dalam ruangan itu, pihak defendan sendiri atau ejen atau pembantu mereka telah mengumpul komen-komen daripada pelanggan atau pengguna laman portal itu dan kemudian menggabungkan komen-komen yang terpilih sebagai satu artikel, yang secara jelas telah memfitnah pihak plaintif dan diterbitkan semula di laman portal tersebut.

Pihak plaintif mendakwa, artikel-artikel tersebut adalah komen-komen yang diberikan tanpa sebarang asas dan tanpa mempedulikan kebenarannya, hanya tuduhan melulu yang berniat jahat (mala fide) yang sangat serius kerana menyebabkan ketegangan antara rakyat dengan mereka berdua.

"Defendan-defendan dengan sengaja membenarkan penerbitan artikel-artikel fitnah tersebut dengan tujuan untuk menyebabkan ketegangan antara rakyat dan pihak plaintif apabila isu-isu yang diketengahkan dan yang terpilih tersebut secara jelas adalah tuduhan melulu, berniat jahat terhadap plaintif-plaintif.

"Sifat serius dan skandal fitnah tersebut telah mengakibatkan kerosakan yang sangat teruk dan meninggalkan kesan serta kerugian yang mendalam kepada reputasi kedua-dua plaintif, secara khususnya tetapi tidak terhadap kepada hubungan dengan rakyat di negara ini dan juga hubungan pihak plaintif dengan pihak-pihak lain di peringkat antarabangsa," menurut pernyataan tuntutan tersebut.

Pihak defendan juga dengan sengaja didakwa membenarkan penerbitan artikel-artikel itu bertujuan menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat negara ini terhadap plaintif pertama selaku sebuah parti politik dan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) serta plaintif kedua selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri, bagi meneruskan dan mementingkan agenda tersendiri pihak defendan tanpa menghiraukan sensitiviti isu-isu yang dibangkitkan.

Akibat daripada penerbitan tersebut, pihak plaintif mendakwa, reputasi mereka telah terjejas dengan teruk apabila dikecam terutama di media sosial dan media massa.

Penerbitan itu juga, tegas plaintif, telah melibatkan mereka dengan skandal awam, diaibkan dan dihina oleh khalayak ramai dan masyarakat tempatan mahupun masyarakat antarabangsa.

Selain itu, kerosakan pada reputasi plaintif-plaintif adalah sesuatu yang didakwa akan berlangsung selama bertahun-tahun lamanya disebabkan artikel-artikel itu boleh diakses secara meluas kerana diterbitkan di laman portal tersebut dan mempunyai pembaca maya selain boleh dikongsi di laman-laman sosial yang lain.

Penerbitan artikel itu, kata mereka, turut menyebabkan kredibiliti pihak plaintif dipersoalkan oleh banyak pihak sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa kerana isu skandal rasuah dan perkauman secara amnya mendapat perhatian umum.

Jelas plaintif, mereka sebelum itu menghantar surat tuntutan pada 15 Mei lalu supaya pihak defendan antara lain membuat permohonan maaf tidak bersyarat dan menarik balik artikel-artikel itu serta menyediakan akujanji bertulis tidak akan mengeluarkan kenyataan serupa.

Bagaimanapun pihak defendan melalui surat balasannya pada keesokan harinya menjawab dengan menggunakan pembelaan komen yang wajar untuk kepentingan awam selain menawarkan peluang kepada pihak plaintif menjawab artikel-artikel itu tanpa memenuhi tuntutan asal pihak plaintif.

Sehubungan itu, pihak plaintif melalui surat bertarikh 28 Mei lalu telah menolak tawaran pihak defendan atas alasan pihak defendan tidak menyangkal sama sekali tuduhan-tuduhan tidak berasas dan kata-kata fitnah tersebut.

Pihak defendan sebaliknya telah menerbitkan satu lagi artikel bertajuk Najib threatens to sue Mkini over readers' comments bertarikh 16 Mei lalu yang turut memuatkan komen daripada defendan kedua dan pada 17 Mei pula, mereka sekali lagi telah mengumpulkan komen-komen pengguna atau pelanggan mereka dan dijadikan artikel bertajuk Najib's legal action aims to silence Malaysiakini.

Pihak plaintif dengan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan, faedah, kos dan perintah injunksi bagi menghalang pihak defendan, pembantu atau ejen mereka daripada berbicara lebih lanjut atau menerbitkan atau menyebabkan penerbitan artikel-artikel itu atau seakan-akan dengannya.

Di samping itu, pihak plaintif menuntut defendan-defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di surat khabar atau majalah yang akan ditentukan oleh plaintif, dalam bentuk serta istilah yang akan ditetapkan oleh pihak plaintif. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment