My Add

Thursday 12 June 2014

Negara bakal bebas gelandangan - Rohani

KUALA LUMPUR, RABU 11 Jun, 2014: Kerajaan memberi jaminan akan memastikan negara ini bebas daripada gelandangan selain turut menyelesaikan segera masalah yang dihadapi oleh golongan tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan kerana akan lebih menggalakkan rakyat untuk terus bersikap mementingkan diri.

Jelasnya, terdapat lima kategori gelandangan iaitu penagih dadah, mereka yang mengalami masalah mental, bekerja tetapi tidak memiliki kediaman, tidak bekerja dan tiada kediaman.

"Kerana itu kami tidak menggalakkan rakyat atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus memberi sumbangan kepada mereka kerana bukan kesemua daripada golongan tersebut benar-benar memerlukan pertolongan sebaliknya bekerjasama dengan kementerian untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan seperti di rumah-rumah kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bukannya tidak mahu membantu tetapi ada di antara mereka sudah selesa dengan bantuan makanan, pakaian dan kewangan yang diberikan oleh rakyat dan NGO," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat penghuni gelandangan dan pengemis di Pusat Sehenti Bina Diri Sungai Buloh di sini hari ini.

Tambahnya, kempen basmi gelandangan dan pengemis akan dimulakan pada 26 Jun ini di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) diharapkan dapat memastikan bandar raya sifar gelandangan.

"Sejak kempen diadakan, jumlah pengemis menurun daripada 1,446 orang pada 2011 kepada 1,223 orang pada 2012 dan jumlah tersebut menunjukkan kadar positif apabila semakin berkurang kepada 1,000 orang pada tahun lalu. Sehingga April 2014, hanya mencatatkan 356 orang pengemis," ujarnya.

Rohani berkata, kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang mewujudkan Anjung Singgah membuktikan bahawa statistik dari 2011 hingga 2014 menunjukkan sebanyak 735 orang gelandangan yang mendaftar memperoleh pekerjaan.

"Manakala peluang pekerjaan juga terbuka kepada penghuni di Desa Bina Diri (DBD) untuk bekerja sendiri melalui penjualan hasil kraftangan yang sememangnya memberi keuntungan, malah sebanyak 40,000 peluang pekerjaan di pasar raya besar menunggu golongan tersebut," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment