My Add

Tuesday 17 June 2014

`Orang dalam' dipercayai dalangi kes penculikan di Kunak

KUNAK, SELASA 17 Jun, 2014: Kes penculikan yang berlaku di pusat ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Sapang Air, di sini awal pagi semalam dipercayai didalangi orang dalam, kata Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Mohammad Mentek.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihaknya mendapati kes penculikan itu mempunyai unsur penglibatan orang dalam kerana penjenayah seperti mengetahui keadaan selok-belok di kawasan itu.

``Kawasan ini terpencil, dikelilingi pulau dan kawasan laut yang luas. Saya percaya hanya orang dalam atau orang yang sudah lama berada di sini tahu mengenai keadaan di pusat ternakan ikan ini,'' katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Air Sapang, di sini hari ini.

Beliau berkata sejurus mendapat laporan tentang kejadian penculikan itu, beberapa aset dikerah ke tempat yang telah dikenal pasti untuk memintas penjenayah itu keluar dari perairan negara.

Bagaimanapun penjenayah itu berkemungkinan besar menggunakan jalan alternatif hingga berjaya meloloskan diri dan kini berada di kawasan negara jiran, katanya.

Mohammad berkata, siasatan awal mendapati modus operandi penjenayah semasa insiden itu hampir sama dengan kejadian penculikan di Pulau Baik, Lahad Datu pada 6 Mei lepas.

``Kedua-dua kumpulan penjenayah itu menggunakan pekerja untuk mencari siapa pemilik syarikat berkenaan dan penculik itu juga dipercayai fasih berbahasa Melayu. Cara penculik itu masuk dan keluar dari pusat ternakan ikan dalam sangkar itu juga sama,'' katanya.

Beliau turut menekankan Esscom kini berdepan cabaran besar jenayah rentas sempadan yang didalangi orang yang telah menetap lama di negeri ini khususnya di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Dalam kejadian pada kira-kira 12.40 tengah malam itu, pengusaha pusat ternakan ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun, 32, dan seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an diculik dua lelaki bersenjata di pusat ternakan ikan dalam sangkar Kampung Air Sapang, Kunak.

Ini merupakan kes penculikan ketiga di kawasan pantai timur Sabah tahun ini.

Pada 6 Mei lepas, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.

Sementara, itu Mohammad mengulangi gesaannya agar semua pihak termasuk pengusaha resort dan pengusaha sangkar ikan mematuhi peraturan sedia ada yang menghendaki mereka hanya menggaji pekerja yang mempunyai dokumen sah.

``Kita telah berkali-kali menasihatkan pengusaha resort dan pengusaha ikan dalam sangkar agar tidak lagi mengambil pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen.

``Apa yang berlaku masih ramai di kalangan mereka yang ingkar termasuklah syarikat di sini. Jadi inilah apa yang berlaku (kes penculikan) apabila kita tidak mematuhi peraturan,'' katanya.

Sehubungan itu, Mohammad berkata ESSCom tidak lagi berkompromi dengan majikan yang enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya Operasi Gasak juga akan diteruskan untuk membersihkan pendatang tanpa izin di kawasan Esszone. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment