My Add

Tuesday 10 June 2014

Pasaran modal negara catat prestasi terbaik

KUALA LUMPUR.ISNIN 09 Jun, 2014: Pasaran modal tempatan yang kini bernilai kira-kira 280 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mencatat prestasi terbaik di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, dengan pasaran bon Malaysia semakin berkembang menjadikannya yang ketiga terbesar di Asia dan berhubung kait secara relatif dengan KDNK, selain masih memegang pasaran sukuk terbesar dunia.

"Sekuriti hutang swasta Malaysia telah berkembang lebih daripada 100 kali ganda sejak 1989. Pasaran modal yang luas dan mendalam membolehkannya menyediakan pembiayaan korporat yang penting dengan RM249 bilion diperoleh melalui tawaran awam permulaan (IPO), bon dan sukuk dalam tempoh dua tahun lepas.

"Ini bukti kepada pandangan jauh dan profesionalisme Suruhanjaya Sekuriti yang telah memainkan peranan penting dalam pasaran baharu negara," katanya dalam ucaptama sempena Persidangan Invest Malaysia 2014 di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada petunjuk makro ekonomi oleh kaji selidik antarabangsa, ekonomi Malaysia secara jelasnya menampakkan perkembangan positif dan negara kini merupakan antara yang mengalami pertumbuhan pesat di rantau ini sekali gus membolehkan Malaysia berada di landasan mengejar status negara maju.

Jelasnya, sejak krisis kewangan Asia, negara terus memberi fokus kepada persoalan dasar iaitu mencipta reka bentuk kewangan yang stabil dan kukuh termasuk membuka pelaburan asing dan polisi-polisi utama ekonomi.

"Keputusannya membanggakan. Tahun lalu KDNK kita berkembang 4.7 peratus dan suku pertama tahun ini mencatatkan 6.2 peratus, menjangkau sasaran. Dari 2009 sehingga tahun lalu juga Pendapatan Kasar Negara (GNI) per kapita kita tumbuh sebanyak 42.5 peratus, mencecah AS$10,060 (RM31,387) dan kadar kemiskinan menurun kepada 1.7 peratus pada 2012 berbanding 3.8 peratus pada 2009.

"Ekonomi kita juga pelbagai. Pada 2008 sektor minyak dan gas menyumbang kepada 39.7 peratus daripada jumlah pendapatan, tetapi tahun ini dianggarkan menyumbang 28.9 peratus. Sektor perkhidmatan pula menyumbang 55.2 peratus daripada KDNK, sasaran kita 65 peratus menjelang 2020. Kadar inflasi diunjurkan antara tiga dan empat peratus dan kita pada dasarnya 'menokok' kepada guna tenaga penuh," jelas beliau.

Menurut Najib, pelaburan swasta juga telah melonjak, berkembang 15.3 peratus antara 2010 dan 2013 manakala jumlah pelaburan swasta pada tahun lalu mencecah RM161.1 bilion iaitu melepasi sasaran yang ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa sektor swasta supaya menambah baik penawaran tenaga kerja dalam usaha menarik dan mengekalkan bakat baharu khususnya generasi muda.

Katanya, perkara itu penting memandangkan generasi muda merupakan generasi yang akan meneruskan kelangsungan serta memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi Malaysia.

"Apabila tenaga kerja meningkat, kerajaan akan terus mengukur GNI sebagai kunci utama kejayaan. Sebanyak 60 peratus anak-anak muda berada di Asia dan di Malaysia hampir separuh daripada penduduknya merupakan orang muda. Hari ini mereka melihat dunia dengan lebih terbuka, saling berhubungan, lebih kompleks dan mahukan yang terbaik," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment