My Add

Tuesday 10 June 2014

PM ulangi komitmen pelaksanaan terhadap GST, TPPA

KUALA LUMPUR, ISNIN 09 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi komitmennya untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April 2015 depan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya semasa sesi dialog bersama Perdana Menteri di Persidangan Invest Malaysia 2014 di sini hari ini.

Soalan itu diajukan oleh bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers Malaysia, Datuk Seri Johan Raslan selaku hos sesi itu.

"Ya," jawab Najib ketika ditanya oleh Johan sama ada GST akan benar-benar dilaksanakan bermula April 2015 dan mendapat tepukan hampir 1,000 peserta yang menyaksikan dialog tersebut.

Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan GST semasa pembentangan Bajet 2014 yang dibentang sendiri oleh Najib.

Pelaksanaan cukai baharu itu akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam usaha kerajaan mempelbagaikan pendapatan dan tidak bergantung harap kepada cukai pendapatan individu dan sumbangan daripada pengeluaran minyak dan gas.

Malah, sebagai persediaan, kerajaan turut mengumumkan pelbagai insentif bagi membantu meringankan beban beberapa kumpulan sasaran selepas penguatkuasaan GST antaranya Insentif e-Baucar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penambahan peruntukan untuk pembangunan di kawasan luar bandar, selain pengecualian cukai ke atas beberapa produk keperluan rakyat.

Dalam sesi yang sama, Najib juga mengulangi bahawa kerajaan hanya akan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) jika kesemua terma-terma yang termaktub di dalam perjanjian itu memenuhi kehendak Malaysia.

"Ya, jika memenuhi terma-terma yang negara kehendaki," jawab Perdana Menteri.

Perjanjian itu yang sepatutnya dimuktamadkan pada 2013 tidak kesampaian selepas 12 negara yang terlibat pembentukan TPPA tidak mencapai kata sepakat dalam beberapa topik yang dibincangkan.

Topik seperti fungsi Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS), syarikat milik kerajaan (GLC), kontrak-kontrak kerajaan, kepentingan PKS dan bumiputera dikatakan menjadi antara perkara yang masih belum memenuhi kehendak Malaysia.

Dalam dialog itu juga, Najib turut menyatakan pendidikan masih menjadi agenda penting kerajaan terutama sekali bagi menyeimbangkan bekalan tenaga kerja kepada industri, selain memantau kegiatan rasuah yang boleh menjejaskan sentimen oleh pelabur ke atas negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment