My Add

Tuesday 24 June 2014

Jejaki syarikat korporat

Laporan FITRI AFFENDI MUSTAFA dan HUSSAINI AMRAN

KUALA LUMPUR, ISNIN 23 Jun, 2014: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) digesa supaya mempertingkatkan lagi usaha mengesan syarikat-syarikat korporat yang gagal membayar cukai pendapatan.

Senator Abdul Rahman Bakar berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan syarikat-syarikat terbabit dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

"Ada syarikat yang lari, tidak bayar hasil kepada LHDN. Syor saya supaya LHDN benar-benar mencari syarikat-syarikat yang tidak bayar hasil agar mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2014) 2014 dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan tentang dakwaan layanan istimewa yang diberikan oleh LHDN kepada syarikat korporat dalam menuntut cukai tertunggak sehingga mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil beratus juta ringgit.

LHDN dalam maklum balasnya menjelaskan, agensi itu komited memberi layanan yang saksama tanpa diskriminasi serta prejudis kepada semua pembayar cukai dan pelanggannya.

Sementara itu beliau memberitahu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu menawarkan lebih banyak kursus dalam bidang profesional di kampus-kampusnya.

"Bidang-bidang yang boleh ditambah termasuk perubatan, aeroangkasa dan sains," katanya.

Abdul Rahman menambah, pertambahan bidang profesional itu seterusnya akan menjadikan UiTM sebuah institusi pengajian tinggi yang bertaraf global. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment