My Add

Thursday 19 June 2014

Pelajar Malaysia meninggal di Mesir selamat dikebumikan
Oleh TERMIZI CHE ANUAR

RAWANG, KHAMIS 19 Jun, 2014: Jenazah pelajar Malaysia yang meninggal dunia di Mesir, Ummi Nadiah Filzah Daud selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Country Homes dekat sini malam tadi.

Ummi Nadiah Filzah, 21, merupakan pelajar Fakulti Pergigian Universiti Iskandariah, Mesir terbunuh selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya bersama lima rakannya yang lain.

Jenazah beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 6 petang dan tiba di Rawang kira-kira 9 malam untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan pada pukul 11 malam.

Bapa beliau, Daud Osman, 57, berkata, dia sekeluarga reda dengan pemergian anaknya itu.

"Saya dapat bercakap dengan dia. Bila cakap kita akan balik, anak saya menganggukkan kepala dan kemudian dia senyum.

"Anak saya bukan koma dan dia akan tindak balas dengan setiap apa yang diberitahu dan kami sebagai ibu bapa juga faham apa maksudnya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Allahyarham Ummi Nadiah Filzah terlibat dalam kemalangan jalan raya dua minggu lepas dan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Miri, Universiti Iskandariah dua hari lepas.

Katanya lagi, sebelum kemalangan itu anaknya Ummi Nadiah Filzah banyak berkomunikasi dengan isterinya melalui WhatsApp semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang bersama rakan-rakannya .

Jelasnya, selepas itu anaknya senyap dan beranggapan dia telah menaiki penerbangan.

"Keesokan harinya baharu kami sekeluarga dimaklumkan tentang kejadian itu.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari bersama pegawai-pegwai Kedutaan yang sanggup ke Iskandariah membantu termasuk dalam urusan membawa pulang jenazah ke Malaysia," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment