My Add

Tuesday 3 June 2014

Peniaga di Pasar Besar Gua Musang mula gusar bekalan lewat

 * NAINI Ibrahim bimbang perniagaannya di Pasar Besar Gua Musang, Kelantan bakal terjejas kerana sukar untuk mendapatkan bekalan gula untuk dijual kepada pelanggan. - UTUSAN/Aimuni Tuan Lah
GUA MUSANG, ISNIN 02 Jun, 2014: Masalah kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum bersubsidi turut dilaporkan berlaku di Pasar Besar di sini sejak tiga hari lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar berkenaan mendapati, rata-rata peniaga mengalami penyusutan bekalan tersebut ekoran bekalan lewat tiba.

Seorang peniaga barangan runcit, Roslida Mohamad, 43, berkata, kedainya telah kehabisan bekalan tepung gandum sejak tiga hari lepas.

Kebiasaannya dia akan membeli 10 kotak bekalan barangan tersebut daripada pemborong tetapi sehingga kini, pemborong belum menghantar bekalan.

"Bekalan tepung gandum bagi bulan Mei sudah habis dan kami menunggu bekalan daripada pembekal. Mungkin berlaku sedikit masalah menyebabkan bekalan tersebut lambat tiba," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam orang ramai di negeri Kedah merungut ekoran kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak dan tepung gandum di pasaran.

Seorang lagi peniaga, Che Pa Mat, 54, berkata, kebiasaannya menjelang bulan Ramadan bekalan tepung gandum dan minyak masak mendapat permintaan tinggi daripada pengguna.

"Masalah bekalan lewat tiba sering kali berlaku menjelang bulan Ramadan, dan ini amat merunsingkan kami selaku peniaga.

"Jika tiada bekalan, pengguna akan menyalahkan kami dan mendakwa menyorok bekalan, tetapi permasalahan sebenar adalah bekalan daripada pembekal yang lewat tiba," katanya.

Naini Ibrahim, 54, pula berkata, dia bimbang jika berlaku penyusutan berterusan terhadap barangan tersebut kerana permintaan pelanggan semakin meningkat menjelang bulan Ramadan.

"Setakat ini bekalan minyak masak masih lagi ada, cuma bekalan tepung gandum telah berkurangan.

"Pengurangan bahan tersebut bukan sahaja menjejaskan operasi perniagaan kami, tetapi keperluan pelanggan turut sama terjejas," kata peniaga kedai runcit itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment