My Add

Tuesday 3 June 2014

Bekalan minyak masak, tepung mencukupi

KUALA LUMPUR, ISNIN 02 Jun, 2014: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan bekalan minyak masak dan tepung gandum adalah mencukupi sepanjang bulan Ramadan yang bakal disambut umat Islam tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, jaminan itu dibuat selaras dengan perjanjian dan akuan daripada pihak industri pengeluar barangan itu termasuk pelbagai barangan keperluan lain.

Walau bagaimanapun katanya, beliau telah mengarahkan pegawai kementerian itu untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu setelah didedahkan oleh pihak tertentu melalui media.

"Saya memberikan jaminan bekalan itu adalah mencukupi kerana kementerian telah dimaklumkan oleh pihak industri terbabit yang berjanji tidak akan berlaku masalah itu.

"Sebab itu saya meminta pengguna atau mana-mana pihak berkepentingan untuk membuat aduan terus kepada kementerian melalui emel (e-aduan@kpdnkk.gov.my) atau khidmat pesanan ringkas (SMS) di nombor 15888 atau boleh terus menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 supaya memudahkan pihak kami untuk menyiasat sama ada benarkah kekurangan bekalan itu berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung kebimbangan para pengguna di Kedah apabila mereka kini berdepan masalah kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum serta kenaikan harga barangan itu sejak minggu lepas.

Tinjauan dan pemantauan oleh Persatuan Pengguna Kedah (Cake) juga mendapati kekurangan kedua-dua barangan tersebut berlaku di beberapa daerah di negeri itu dan masalah tersebut sering timbul setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Dalam pada itu, Hasan berkata, mana-mana pihak diingatkan tidak cuba menimbulkan kebimbangan keterlaluan kepada rakyat dengan mencetuskan polemik berhubung kekurangan barangan keperluan itu.

Kata beliau, keadaan itu boleh mengakibatkan berlaku ketidaktentuan pada harga dan jumlah barangan itu di pasaran disebabkan pengguna membuat pembelian secara panik.

"Saya beri ingatan jangan mengada-adakan cerita atau mencetuskan polemik sehingga orang ramai bimbang seolah-olah berlaku kekurangan bekalan di seluruh negara sedangkan ia hanya berlaku di satu atau dua tempat sahaja.

"Kita yakin perkara ini amat sukar berlaku kerana kementerian sudah menetapkan pelbagai mekanisme bagi membendung perkara seumpama ini seperti skim kawalan harga pada setiap musim perayaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment