My Add

Monday 9 June 2014

Peningkatan harga rumah tempatan mulai susut

Oleh FADZIL ZAINOL

KUALA LUMPUR, AHAD 08 Jun, 2014: Indeks Harga Rumah Global yang didedahkan oleh firma penyelidikan hartanah Global Knight Frank (GKF) minggu lalu menunjukkan, harga rumah di Malaysia naik lapan peratus untuk tempoh setahun sehingga suku pertama 2014, sebenarnya adalah peningkatan harga yang terendah sejak 2010.

Indeks yang dikeluarkan oleh firma itu merupakan maklumat yang boleh diperoleh menerusi laman sesawang Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia, yang bertanggungjawab mengeluarkan paras purata harga rumah tempatan untuk setiap suku tahun.

Meskipun laporan indeks harga rumah itu (GKF) telah disensasikan serta berjaya mendatangkan kerisauan kepada orang ramai, namun jika maklumat itu disertakan dengan peningkatan-peningkatan harga rumah di Malaysia dua tiga sebelum ini, ternyata kadar lapan peratus itu boleh dianggap sebagai melegakan.

Lapan peratus itu diperoleh dengan membandingkan harga rumah pada suku pertama 2013 iaitu kira-kira RM256,199 sebuah, telah meningkat kepada RM276,668 sebuah pada suku pertama 2014, iaitu peningkatan sekitar RM20,000 hanya dalam tempoh setahun.

Walaupun peningkatan itu cukup tinggi bagi kebanyakkan rakyat negara ini, peningkatan RM20,000 itu adalah yang terendah sejak dua tahun sebelum ini dengan setiap tahun mengalami kenaikkan RM25,000.

Ini belum diambil kira sejak kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan pelbagai peraturan bagi mengawal harga rumah seawal suku ketiga 2013, harga purata rumah tempatan dari Oktober 2013 hingga Mac 2014 hanya meningkat RM2,300 sahaja.

Itu bermakna, peningkatan lebih RM17,000 lagi hanya berlaku antara Januari hingga September 2013, iaitu sebelum kerajaan memperkenalkan pelbagai peraturan baharu bagi mengawal kenaikkan harga rumah yang mendadak.

Antara usaha-usaha yang diperkenalkan ialah mengetatkan pemberian pinjaman, pengenalan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), pelaksanaan harga maksimum RM1 juta kepada pembeli asing.

Menurut Penganalisis Affin Investment Bank, Isaac Chow, langkah kerajaan itu ternyata berjaya membendung peningkatan harga rumah yang tidak terkawal sejak dua tiga tahun sebelum ini.

Katanya, hal itu sedikit sebanyak telah menjejaskan perolehan syarikat-syarikat pemaju hartanah, khususnya pemaju yang menfokuskan rumah jenis kediaman atau kondominium mewah. Ini dapat dilihat apabila perolehan beberapa syarikat seperti IOI Properties, S P Setia, Sunway, UOA dan Tropicana menyusut sejak enam bulan lalu.

"Hal ini dapat dikesan sejak pertengahan tahun lalu lagi terutama sekali selepas pengenalan beberapa dasar baharu bagi mengawal kenaikan harga hartanah.

"Pada masa yang sama, agak sukar untuk menjangkakan harga rumah akan mengalami penurunan ketara, memandangkan pemaju hartanah terpaksa menanggung kos pembinaan yang semakin tinggi.

"Tetapi disebabkan pelbagai dasar baharu yang menyukarkan pembeli mendapat pinjaman, harga rumah tidak akan naik mendadak," katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun penganalisis itu menjangka pasaran harga rumah pada suku kedua kembali rancak, apabila pemaju-pemaju serta pembeli boleh membiasakan diri untuk menghadapi pelaksanaan peraturan oleh kerajaan dan BNM.

Tetapi, potensi untuk memperlihatkan berlakunya penurunan harga rumah tetap wujud. Sebagai contoh, Singapura yang melaksanakan peraturan lebih ketat seperti mewajibkan wang pendahuluan pembelian rumah yang tinggi serta hutang peminjam tidak melebihi 60 peratus pendapatannya.

Berdasarkan perangkaan GKF, harga rumah di Singapura menyusut 0.1 peratus dalam tempoh setahun lalu, meskipun mempunyai kepadatan yang tinggi.

Malah, usaha kerajaan yang memperkenalkan program-program rumah mampu milik juga dilihat membantu orang ramai membeli rumah serta menurunkan harga purata rumah tempatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment