My Add

Sunday 15 June 2014

Penyelewengan punca tentera Iraq lumpuh

 * ANGGOTA-anggota bersenjata dari puak-puak di Iraq melaungkan slogan mempertahankan kawasan mereka daripada ditawan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Bandar Sadr, kelmarin. - AP
BAGHDAD, SABTU14 Jun, 2014: Kegagalan tentera Iraq menangani ancaman militan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) dipercayai berpunca daripada gejala rasuah, kepimpinan yang lemah dan perpecahan fahaman di kalangan pemimpinnya.

Seorang pegawai tentera Iraq yang enggan dikenali berkata, sejak tentera Amerika Syarikat (AS) berundur pada 2011, penyelewengan dana yang sepatutnya digunakan menanggung gaji tentera, kos penyelenggaraan kenderaan dan minyak semakin berleluasa dalam kalangan pegawai atasan.

Beliau berkata, jawatan pegawai kanan tentera sering ‘dijual’ dengan tujuan mendapatkan wang secara mudah, manakala askar bawahan terpaksa membeli alat ganti kenderaan tentera di pasaran tempatan kerana tiada bekalan di pusat simpanan kerajaan.

Selain itu, bekas pegawai tentera AS, Leftenan Jeneral Bersara Jim Dubik mendakwa, pentadbiran tentera Iraq terlalu dipolitikkan di bawah Perdana Menteri Nouri al-Maliki yang berfahaman Syiah turut memjadi faktor tentera negara tersebut lumpuh.

Katanya, layanan buruk ke atas askar berdasarkan harta dan rekod oleh pegawai atasan mengakibatkan mereka bersedia meninggalkan tugas masing-masing.

“Mereka (askar bawahan) kehilangan semangat akibat dibayar gaji rendah dan elaun mereka dicuri oleh pegawai atasan yang hanya mementingkan diri mereka sendiri.

“Oleh itu tidak hairan mengapa askar bawahan sanggup meninggalkan tugas masing-masing apabila bertempur dengan militan," katanya.

Dalam perkembangan lain, AS dilaporkan menempatkan aset tentera termasuk kapal pengangkut pesawat di Asia Barat untuk melancarkan serangan udara ke atas militan ISIL dalam tempoh 24 jam.

Portal berita PressTV melaporkan, Pentagon menempatkan kapal pengangkut pesawat George H.W. Bush di Teluk Parsi selepas Presiden, Barack Obama menegaskan AS tidak akan menghantar tentera darat bagi memerangi militan terbabit.

Selain itu, pasukan keselamatan Iraq dilaporkan bersedia melancarkan serangan balas ke atas militan ISIL selepas Kabinet memberi kuasa tanpa had kepada al-Maliki untuk menangani krisis tersebut.

Pasukan bantuan daripada polis persekutuan dan tentera juga tiba semalam di Baghdad dari bandar Samarra, terletak kira-kira 110 kilometer dari ibu negara ini untuk menyokong operasi terbabit. - REUTERS/UTUSAN

No comments:

Post a Comment