My Add

Sunday, 15 June 2014

Susilo lulus beli rumah tanpa had

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

JAKARTA, SABTU 14 Jun, 2014: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menandatangani pindaan Peraturan Presiden yang akan membenarkan beliau membeli sebuah unit kediaman peribadi tanpa had menggunakan dana yang diperuntukan oleh kerajaan.

Polisi tersebut dilihat bertentangan dengan tindakan Susilo pada bulan lalu yang memotong bajet 86 kementerian dan agensi lain dalam pembentangan bajet nasional.

Peraturan Presiden sebelum ini telah menetapkan jumlah maksimun harga pembelian kediaman peribadi untuk bekas presiden adalah sebanyak 20 bilion rupiah (RM5.5 juta).

Bagaimanapun, dalam peraturan baharu yang ditandatangani Susilo pula, tidak disebutkan had perbelanjaan tersebut.

Dalam peraturan baharu itu menjelaskan kediaman yang dimaksudkan dibina di atas sebidang tanah dan lokasi kediaman pula haruslah mempunyai akses jalan raya yang baik selain rekaan dan saiz kediaman haruslah dapat menampung aktiviti keluarga bekas presiden dan naib presiden.

Peraturan baharu itu juga menyebut secara spesifik mengenai keperluan jaminan keselamatan ke atas bekas presiden dan naib presiden.

Perubahan dalam terma Peraturan Presiden itu dibuat berdasarkan Undang-Undang Nombor 7/1978 berhubung manfaat kewangan dan pentadbiran kepada presiden dan naib presiden.

Undang-undang negara ini membenarkan bekas presiden dan naib presiden untuk membeli sebuah unit kediaman di mana kosnya akan ditanggung oleh kerajaan.

Susilo yang tidak dibenarkan bertanding untuk penggal ketiga dalam Pemilihan Umum (Pemilu) pada 9 Julai ini mengambil keputusan yang sama dengan apa yang dibuat oleh bekas presiden, Megawati Sukarnoputeri pada 2014 yang turut melakukan pindaan pada peraturan tersebut sebelum mengundurkan diri sebagai Presiden pada 2004.

Sementara itu, jurucakap Presiden Susilo. Julian Aldrin Pasha berkata, Presiden Indonesia tidak mempunyai sebarang niat peribadi terhadap pindaan peraturan itu.

Sebaliknya, beliau berkata, kesemua bekas presiden dan naib presiden yang masih belum menerima kediaman boleh merujuk kepada peraturan terbaharu itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment