My Add

Monday 9 June 2014

Penyertaan MCA dalam Kabinet perlu disegerakan

PULAU PINANG, AHAD 08 Jun, 2914:Kerajaan diminta membuat ketetapan segera berhubung kemasukan wakil MCA ke dalam barisan Kabinet bagi memudahkan parti itu khususnya Biro Pengaduan Awam MCA meneruskan usaha-usaha menangani masalah rakyat khususnya masyarakat Cina di negara ini.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, perkara itu penting supaya sokongan boleh diberikan kepada pihaknya dalam menyelesaikan masalah rakyat sekali gus memberikan keyakinan masyarakat terhadap usaha yang dilakukan parti.

Katanya, ketika ini biro berkenaan menghadapi sedikit kesukaran dalam menyelesaikan masalah yang dibangkitkan rakyat memandangkan ketiadaan wakil MCA di Kabinet dan perkara itu perlu ditangani.

"Kita harap selepas ini ada wakil MCA di Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat membuat keputusan berhubung perkara ini dengan segera.

"Ketetapan menolak kedudukan dalam Kabinet yang diputuskan kepimpinan parti sebelum ini adalah satu kesilapan dan kita harap perkara ini mendapat pertimbangan sewajarnya selepas ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Awal Mei lalu, ketika berucap di majlis pelancaran Kempen Transformasi MCA di Kuala Lumpur, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mempelawa MCA untuk menyertai semula Kabinet dan menjadi lebih kuat dalam BN serta bersama-sama membantu merangka masa depan negara.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam reaksinya terhadap pelawaan itu memberitahu, parti bersetuju untuk menyertai semula Kabinet dan menunggu kata putus daripada Perdana Menteri berhubung portfolio yang ditetapkan.

Menurut Michael, kemasukan wakil MCA ke Kabinet juga penting dalam memastikan kelangsungan parti memandangkan masyarakat Cina kini sudah mula kembali menyokong BN.

Tegasnya, masyarakat Cina kini termasuk ahli perniagaan dan persatuan telah mengadakan perjumpaan serta menyatakan sokongan kepada BN, namun tiada keyakinan yang boleh diberikan parti terhadap mereka.

"Melalui kemasukan wakil MCA ke Kabinet, sedikit sebanyak dapat memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap perjuangan parti seperti sebelum ini.

"Namun kita berserah kepada pertimbangan Perdana Menteri dalam menentukan kedudukan MCA di Kabinet kerana yang penting adalah MCA mempunyai wakil," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment