My Add

Monday 9 June 2014

Perkasa nafi terima duit kerajaan biayai kunjungan ke Eropah

GOPENG, AHAD 08 Jun, 2014: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menafikan tuduhan pihak tertentu bahawa lawatan pertubuhan itu ke United Kingdom (UK) serta beberapa negara Eropah baru-baru ini menggunakan duit rakyat daripada dana kerajaan.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tuduhan jahat, Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau sanggup bersumpah bahawa Perkasa tidak mengambil walau satu sen pun duit daripada kerajaan.

Katanya, beliau serta beberapa ahli pertubuhan itu pergi ke negara berkenaan menggunakan duit sendiri atas dasar perjuangan dan juga permintaan daripada orang Melayu di sana.

"Saya diberitahu ada daripada pihak sebelah sana pergi ke London dan sebut kononnya Perkasa ke sana menggunakan duit rakyat yang dibayar menerusi cukai.

"Kalau boleh saya sebut di sini Wallahi, Wabillahi, Watallahi..satu sen pun kami tidak ambil duit kerajaan. Malah, kami datang pun atas dasar jemputan daripada umat Melayu yang bekerja serta belajar di sana," kata beliau.

Ibrahim berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Perkasa Parlimen Gopeng di Dewan Kampung Sungai Rokam dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim memberitahu, Perkasa menerima sambutan luar biasa sewaktu lawatan pertubuhan itu ke UK baru-baru ini.

Katanya, sejak melancarkan Kelab Perkasa UK dan Eropah di London hujung bulan lalu, seramai 276 orang terdiri daripada kakitangan kerajaan, pekerja swasta dan pelajar dalam bidang strategik telah mendaftar menjadi ahli.

"Kami bukan sahaja menerima permintaan di UK, malah orang Melayu di Belgium, Jerman, Perancis dan Belanda juga mahu bersama Perkasa. Kami turut menerima permintaan untuk membuka kelab di Indonesia iaitu di Jakarta, Surabaya dan Bandung.

"Perkasa juga dalam perancangan untuk melancarkan kelab di Perth serta Melbourne, Australia, Jordan dan Mesir," jelas beliau.

Sementara itu, dalam Majlis Penyampaian Watikah Perkasa Parlimen Parit di Dewan Pejabat Koperasi Usahawan Perak Tengah pula, Ibrahim membidas Pengarah Urusan Kumpulan YTL Corp. Bhd., (YTL) Tan Sri Dr. Francis Yeoh yang disifatkan beliau sebagai tidak menghargai jasa kerajaan.

"Ini bukan kali pertama beliau buat kenyataan seumpamanya. Nampak jelas golongan seperti beliau tidak menghargai jasa kerajaan yang banyak membantu, agenda mereka bercakap seolah-olah pihak pembangkang, mungkin untuk membeli ‘saham’ pihak sana," jelas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment