My Add

Sunday 8 June 2014

Perlu rujuk Mahkamah Persekutuan

Oleh KAMIL MASLIH

KUALA LUMPUR, SABTU 07 Jun, 2014: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin disaran merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berhubung kesahihan Rang Undang-undang Penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor di bawah Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan.

Pengamal undang-undang, Kamarudin Ahmad berkata, langkah berkenaan bagi memastikan kerajaan negeri Johor dapat mengelakkan undang-undang tersebut daripada dicabar oleh rakyat.

"Saya percaya kerajaan negeri Johor akan kalah sekiranya undang-undang ini dicabar di mahkamah kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan iaitu peranan raja sebagai ketua agama Islam dalam negerinya.

"Sehubungan itu, Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pemerintah dijalankan oleh jemaah menteri pada peringkat Kerajaan Persekutuan dan oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri pada peringkat negeri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan kerajaan negeri Johor untuk membentangkan satu rang undang-undang baharu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Isnin ini yang akan memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Kamarudin yang memiliki firma guaman Kamarudin & Partners merupakan aktivis yang banyak memperjuangkan isu-isu di negeri Selangor antaranya subsidi air percuma, bantuan ibu tunggal dan juga pemindahan aset-aset Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menurut Kamarudin, sekiranya rang undang-undang itu diluluskan Isnin ini dengan memberi kuasa pentadbiran kepada Sultan Johor, maka rakyat Johor boleh mencabar undang-undang tersebut.

"Prosedur mencabarnya ialah melalui permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Johor Bahru atau pun Kuala Lumpur. Dengan prosedur semakan kehakiman, Hakim Mahkamah Tinggi akan menentukan sama ada undang-undang tersebut sahih atau tidak," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment