My Add

Sunday 8 June 2014

Pemuda UMNO serah laporan maklum balas kepada MB esok

JOHOR BAHRU, SABTU 07 Jun, 2014: Pergerakan Pemuda UMNO negeri akan menyerahkan laporan lengkap hasil dialog dengan pelbagai pihak tentang penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Isnin ini.

Naib Ketuanya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, laporan itu merupakan hasil dialog pihaknya dengan 'stakeholders' atau pihak berkepentingan seperti media, pimpinan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan suara hati rakyat tentang isu berkenaan.

"Selama dua hari ini, kami mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk media, pimpinan politik dan NGO, ahli akademik dan suara hati rakyat jelata. Kami juga menghubungi Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk mendapatkan pandangan beliau tentang perkara ini.

"Pemuda UMNO Johor kini perlu seimbangkan antara keresahan dan persepsi rakyat dengan perancangan kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, kami percaya isu ini akan dapat dihuraikan dengan baik kerana tradisi muafakat Johor sentiasa menjunjung tinggi Perlembagaan negara dan konsep Raja Berperlembagaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Anwar berkata, mungkin ada yang berbeza pandangan berkaitan kedudukan Sultan Johor dalam pentadbiran kerajaan negeri, namun pergerakan itu melihat perkara berkenaan sebagai hikmah untuk memartabatkan institusi beraja.

"Ini juga adalah peluang untuk pimpinan kerajaan negeri menjelaskan lebih terperinci berkaitan cadangan penubuhan LPHJ. Pemuda UMNO negeri yakin bahawa inisiatif kerajaan negeri ini adalah daripada rakyat, demi rakyat dan pro rakyat," katanya.

Beliau berkata, seramai 26 Ketua Pemuda UMNO bahagian di negeri ini akan mengikuti sesi pembentangan rang undang-undang baharu itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin ini untuk mendengar sendiri hujah yang dibangkitkan oleh anggota dewan.

"Ketua Pemuda UMNO bahagian yang mempunyai pelbagai latar belakang dan daerah yang diwakili akan meneliti dokumen yang bakal dibentangkan nanti," katanya.

Isu penubuhan LPHJ menjadi perdebatan hangat khususnya oleh rakyat negeri ini setelah disiarkan sebagai berita muka depan Utusan Malaysia semalam kerana dikatakan memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru, ada beberapa pihak yang meminta pembentangannya pada Isnin ini ditangguhkan untuk memberi ruang kepada kajian semula. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment