My Add

Sunday 15 June 2014

Perpaduan kaum tonggak kekuatan kecemerlangan negara - Muhyiddin

 * MOHAMED Nazri Abdul Aziz diiringi Musa Aman (tengah) bersama para penari kebudayaan dalam Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan di Kompleks Sukan Keningau, Sabah, malam tadi. - MINGGUAN/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN
KENINGAU, SABTU 14 Jun, 2014: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perpaduan kaum merupakan tonggak kekuatan dan pasak keutuhan yang akan menjamin kejayaan serta kecemerlangan negara.

Menurut beliau, tanpa adanya sikap toleransi, perpaduan, persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat sudah tentu rakyat tidak dapat menikmati kehidupan dalam suasana harmoni serta rukun damai.

Malah, beliau berkata, sekiranya generasi hari ini dapat mewarisi benih perpaduan sebenar, ia mampu mewujudkan masyarakat bersatu padu sekali gus menjunjung cita-cita yang termaktub di dalam Rukun Negara.

“Walaupun kita berasal dari suku kaum yang berbeza namun perayaan Pesta Kaamatan ini harus dikongsi bersama.

“Perayaan ini bukan hanya menjadi lambang kejayaan tetapi melambangkan perpaduan dan jati diri kita," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan 2014, di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, perkongsian budaya seumpama ini harus disemai dan didisiplinkan selain menjaga rasa hormat menghormati dalam diri setiap rakyat Malaysia.

Katanya, jika seseorang itu menghormati budaya orang lain, budaya dan diri mereka juga akan dihormati kerana budaya melambangkan bangsa.

“Sebagai rakyat negara ini, kita harus berkongsi dan menghormati perayaan kaum-kaum lain demi mengukuhkan semangat perkongsian serta kesepakatan masyarakat.

“Maka peliharalah semangat ini sebagaimana kita memelihara semangat Kaamatan selain menjadikan perayaan Pesta Kaamatan sebagai gagasan perpaduan kita di negara ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menambah, perayaan ini mampu mempelbagaikan unsur kebudayaan negara yang boleh dikongsi bersama ke arah integrasi nasional dan perpaduan negara.

Katanya, rakyat negara ini perlu melihat perayaan tersebut bukan sekadar acara kebudayaan serta hiburan semata sebaliknya ia mempunyai mesej tersirat dalam mengeratkan hubungan antara satu dengan lain.

“Adalah diharapkan perayaan ini akan menjadi satu hari kegembiraan bagi semua rakyat Malaysia yang menjadi lambang perpaduan dan toleransi kita di negara ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment